Ziarah-menziarahi ketika sambutan perayaan utama iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga tinggal senegeri, terhad kepada 20 orang sahaja.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga perlu disusuli dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan cecair pembasmi kuman sepanjang sambutan.
“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka, cukup terhad 20 orang sahaja pada satu-satu masa.
“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.
“Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak
perlulah duduk terlalu rapat,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung dari Putrajaya, hari ini.
Beliau juga memohon maaf kerana perjalanan balik kampung merentas negeri tidak dibenarkan bagi tujuan menyambut Aidilfitri, demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua.
“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung
bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa
lagi, saudara saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu
bapa dan sanak saudara.
“Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau
sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu, saya pun berasa sayu juga.
“Mainkanlah lagu-lagu hari raya yang boleh menceriakan suasana. Sayatengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii.’ Lagu ni pun OKlah,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost