‘Geng Boneng’ Sasar Rumah Tepi Bukit, Tumpas

Supt Shafa’aton Abu Bakar (dua,kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas. – Foto BERNAMA

SUNGAI BULOH: Polis menumpaskan ‘Geng Boneng’ yang aktif melakukan samun serta pecah rumah dan menahan tujuh ahlinya termasuk tiga wanita dalam dua serbuan di Meru, Klang dekat sini, 28 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata ketujuh-tujuh suspek ditahan dalam serbuan berasingan ke atas dua rumah di Jalan Kenangan off Jalan Meru, Klang dan Jalan Jabar, Batu 5 Meru, Klang dekat sini.

Tangkapan itu adalah kejayaan hasil siasatan satu kes samun dan pecah rumah di Jalan Seroja 1/3 Sungai Buloh Country Resort milik seorang pengurus kontrak yang dilaporkan berlaku pada 7 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar (tengah) menunjukkan antara barang. – Foto BERNAMA

“Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, empat suspek memecah masuk rumah mangsa sebelum mengejutkan semua penghuninya yang sedang tidur, dikumpulkan dalam sebuah bilik dan diikat.

“Suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan mengambil pelbagai barangan berharga serta wang tunai dianggarkan bernilai RM15,000 sebelum melarikan diri ke arah hutan berhampiran,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Modus operandi kumpulan ini adalah memantau rumah yang disasarkan terlebih dahulu dari kawasan bukit berhampiran dan kerap memilih mangsanya daripada kalangan orang Melayu atau India kerana mereka tidak membela anjing.

“Mereka biasanya akan sasarkan kediaman banglo atau rumah teres lot hujung yang hampir dengan kawasan hutan untuk memudahkan mereka melarikan diri.

“Suspek akan berjalan antara satu hingga lima kilometer di dalam hutan dan seorang rakan mereka yang berperanan sebagai ‘transporter’ akan menunggu di tepi hutan dengan kenderaan,” kata Shafa’aton.

Siasatan mendapati geng berkenaan mendalangi sekurang-kurangnya 10 kes samun dan pecah rumah dalam daerah Sungai Buloh, Shah Alam, Sabak Bernam dan Sepang, sejak awal tahun lalu.

“Semua suspek berusia lingkungan 30-an terdiri daripada lelaki tempatan berasal dari Sabah, tiga lelaki warga Indonesia dan tiga wanita Indonesia kini direman hingga 14 Mac ini.

““Siasatan turut mendapati tiga suspek wanita yang juga isteri kepada tiga suspek lelaki warga Indonesia itu berperanan sebagai ‘tukang gadai’ barang kemas yang disamun,” katanya.

Selain tangkapan, polis turut berjaya merampas pelbagai barangan antaranya sembilan telefon bimbit, sembilan jam tangan, dua komputer riba serta pelbagai alat pecah rumah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 kanun sama.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *