KWSP Mohon Maaf, Minta Pesakit Kanser Datang Ke Pejabat

Gambar yang tular di media sosial. Gambar media sosial

JOHOR BAHRU: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon maaf dan kesal terhadap kejadian pesakit kanser tahap empat berusia 56 tahun yang terpaksa diusung ke Pejabat KWSP di Johor Bahru untuk diambil cap jari.

KWSP dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya sudah menghubungi dan berjumpa ahli keluarga wanita itu untuk mendapat maklumat lanjut.

“Ini bukan saja bertujuan membantu mereka malah kami akan menggunakan pengalaman ini untuk membaiki proses sedia ada supaya kami dapat memberi perkhidmatan lebih baik serta prihatin terhadap ahli,” katanya.

KWSP turut menegaskan pihaknya sentiasa mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas ahli mengenai tahap perkhidmatan demi penambahbaikan berterusan.

Tular di media sosial hari ini mengenai kejadian keluarga pencarum terpaksa menyewa ambulans dan mengusung pesakit kanser tahap empat ke kaunter untuk mendapatkan cap jari bagi mengeluarkan wang berjumlah kurang daripada RM10,000.

Adik wanita itu, Nur Sheila Abdullah yang berkongsi kejadian itu di media sosial berkata, keluarga terpaksa mengusung kakaknya yang terlantar sejak sembilan bulan lalu untuk mengeluarkan baki wang caruman di KWSP bagi tujuan kos rawatan serta ubat.

“Sebelum ini, saya dan abang membuat pertanyaan di kaunter KWSP dan kami meminta jasa baik pegawai membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cap jari secara manual dan pengesahan diri pencarum. Kami merayu kerana kakak seorang pesakit kanser yang terlantar dan ingin mengeluarkan wang caruman yang mana bakinya kurang RM10,000.

“Bagaimanapun mereka berkata pencarum wajib hadir ke pejabat untuk pengesahan cap jari menggunakan mesin di situ. Mereka menyatakan tidak kisah mahu datang menggunakan ambulans atau pengusung (stretcher). Janji datang ke pejabat,” katanya.

Nur Sheila berkata, keluarganya terpaksa akur namun pemerhatian mendapati Pejabat KWSP Johor Bahru tidak menyediakan kemudahan seperti parkir ambulans atau pesakit hilang upaya sebaliknya yang ada hanya ada untuk orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila pengawal keselamatan mengarahkan ambulans ke belakang bangunan dengan alasan tidak mahu mengganggu bahagian depan.

“Akhir sekali seorang pegawai datang menguruskan ambulans dan mengarahkan pembantu perubatan menolak pengusung masuk ke kaunter. Saya sedih melihat kakak yang memang sudah tidak ada daya upaya mengangkat tangannya terus menjadi tontonan orang ramai di situ,” katanya.

Dia berkata, keluarganya terkilan apabila seorang pegawai memberitahu sebenarnya boleh menggunakan cap jari manual namun prosesnya agak lambat.

“Kenapalah tak beritahu ketika kami membuat pertanyaan, kami tak kisah pun lambat janji kakak tidak perlu ke sana.

“Keselamatan juga penting, bayangkan kalau yang datang ini pesakit yang mempunyai penyakit berjangkit tidakkah ia membahayakan anda semua,” katanya.

Harian Metro

2097