Dua Warga Filipina Curi Kulit Kayu Tangar Di Hutan Simpan Terusan Dicekup

Sebahagian kulit tangar yang sudah dikeringkan untuk diseludup ke negara jiran.

SANDAKAN, 15 Dis: Tindakan berani dua lelaki warga Filipina menceroboh negara ini untuk mencuri kulit kayu tangar di Hutan Simpan Terusan, Kinabatangan sejak kira-kira seminggu lalu akhirnya dicekup Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan dan Jabatan Perhutanan Sabah semalam.

Pegawai Pemerintahnya Supt Toipi Lamat berkata suspek berumur 55 dan 34 tahun itu, yang ditahan kira-kira 7.30 pagi, mengakui memasuki negara dari Pulau Kagayan, Filipina dengan menaiki bot bersama empat orang lain.

Pihak berkuasa menjumpai empat bot disembunyikan yang digunakan untuk memasuki hutan bakau di negeri ini.

“Suspek dihantar menyelusuri sungai paya bakau di hutan simpan berkenaan dan kemudian, bot kembali semula ke Filipina meninggalkan suspek.

“Suspek memberitahu mereka telah diupah untuk mengambil kulit kayu tangar dengan kadar 12 peso sekilo,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Toipi berkata turut dirampas adalah empat ikatan kulit kayu tangar dengan anggaran berat keseluruhan 200kg, dua bilah kapak, dua bilah parang, sebatang penceduk tanah dan alat untuk mengupas kulit kayu tangar.

Beliau berkata empat khemah turut ditemukan dan dimusnahkan oleh pegawai Stesen Kulamba, Jabatan Perhutanan Sabah.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sandakan untuk tindakan lanjut, katanya.

Pihak berkuasa menjumpai empat bot disembunyikan yang digunakan untuk memasuki hutan bakau di negeri ini.
Anggota PGA menahan ralyat Filipina yang menceroboh hutan simpan. Foto Ihsan PGA.
Anggota PGA menahan ralyat Filipina yang menceroboh hutan simpan. Foto Ihsan PGA.

BERNAMA

1915