Buntu Kos Rawatan Suami Tidak Cukup

Azman memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatannya bernilai kira-kira RM32,000.

KOTA KINABALU: Prosedur rawatan pengidap penyakit berkaitan saluran darah, Azman Atama, 34, yang sepatutnya dijalankan hari ini di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) terpaksa ditangguhkan selepas gagal mengumpul kos rawatan berjumlah RM32,000.

Isterinya, Nur Shakila Ag Sarin, 29, berkata setakat ini pihaknya hanya dapat mengumpul kira-kira RM20,000 menerusi sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap keadaan suaminya, termasuk melalui kempen dalam talian kitafund.com.

Katanya, pihaknya sudah menghubungi HUKM untuk menangguhkan rawatan yang dipanggil Embolization itu sehingga jumlah wang yang diperlukan untuk prosedur rawatan berkenaan mencukupi.

“Walaupun sedar suami perlu menjalani rawatan itu dengan segera iaitu sepatutnya pada hari ini, kami terpaksa meminta pihak HUKM menangguhkannya kerana wang untuk membiayai kos rawatan berkenaan belum mencukupi.

“Pihak HUKM memaklumkan ia akan memberikan tarikh baharu untuk suami saya menjalani rawatan pada bulan depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NSTP sebelum ini menyiarkan harapan Nur Shakila agar orang ramai dapat menyumbang untuk membantu suaminya menjalani rawatan itu yang perlu dilakukan segera berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Sebelum ini, sebanyak RM70,000 wang pinjaman sudah dibelanjakan untuk rawatan awal suaminya, namun rawatan lanjut perlu dilakukan bagi mencegah masalah dihadapi suaminya daripada melarat.

Azman disahkan mengidap Right Posterior Fossa Arteriorvenous Fistula, iaitu keadaan sambungan abnormal salur darah arteri dan vena yang kronik hingga mengganggu sistem penyaluran darah ke otak.

Menerusi rawatan Embolization di HUKM, Azman perlu melalui prosedur rawatan dengan memasukkan hos besar dalam saluran darah melalui celah paha untuk memulihkan sambungan abnormal saluran darah.

Nur Shakila berkata, keadaan kesihatan suaminya semakin merosot berbanding sebelum ini dan sering mengalami gejala sakit kepala, muntah serta penglihatan yang kabur.

“Doktor memberitahu saya kemungkinan urat saraf suami terganggu sehingga mengalami gejala sedemikian. Lebih membimbangkan, urat abnormal itu boleh pecah bila-bila masa sahaja.

“Walaupun sakit, suami saya tetap turun kerja seperti biasa tetapi jika dia rasa tidak larat, dia terpaksa ambil cuti kecemasan. Suami juga sentiasa membawa ubat muntah ke mana-mana saja,” katanya.

Nur Shakila berharap agar beliau dapat mengumpul dana yang cukup supaya Azman dapat menjalani rawatan secepat mungkin berikutan tahap kesihatan yang semakin kritikal.

Orang ramai boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank CIMB 7038957270 atas nama Nur Shakila Ag Sarin.

Harian Metro