“Kau berambus keluar dari rumah ni malam ni juga, kau bawa semua barang-barang kau dr rumah aku. Aku tidak mahu lagi tengok muka kau di sini !! “
Dengan linangan air mata dan esak tangis, aku kutip barang-barang dan beg yang berterabur di atas lantai. Tidak aku sangka, setelah hampir dua tahun aku menjalinkan hubungan dengan Ijam akhirnya putus juga. Dengan berat hati, aku hidupkan enjin kereta dan pergi membawa diri tanpa ada arah tuju.
Ijam adalah seorang duda anak dua yang berusia 53 tahun manakala aku adalah seorang pelajar yang usiaku baru sahaja mencecah 22 tahun. Meski perbezaan umur kami besar, tapi aku sangat mencintai Ijam dan bersedia menjadi ibu tiri muda kepada anak-anaknya yang hampir seusiaku.
Bukan kisah cinta yang ingin aku kongsikan dalam entry kali ini tetapi aku ingin ceritakan pengalaman misteri dan seram dan pernah aku alami sepanjang aku tinggal di rumah Izam. Sebulan selepas kami saling mengenali, Izam mempelawaku untuk tingal bersama-sama dengannya. Aku yang pada waktu itu sedang dilamun cinta mengiyakan saja pelawaan Ijam.
Ijam merupakan anak kepada seorang Datuk yang agak berpengaruh di negeri Sabah terutama sekali di sekitar daerah Sandakan dan Kinabatangan (tiada kaitan sama Dato B.M ya ). Ijam memiliki rumah banglo dua tingkat yang terletak di sebuah taman perumahan di daerah Menggatal. Terletak di corner lot dan memiliki keluasan dua kali ganda berbanding rumah-rumah di sekitarnya, rumah ini juga sudah hampir 10 tahun ditinggalkan apabila ibu Ijam, Datin Maimon membuat keputusan untuk berpindah ke kampong. Tetapi, setiap dua minggu Ijam akan datang melawat rumah ini dan membawa pembantu rumahnya untuk membersihkan kawasan sekitar rumah. Meski sudah hampir sedekad tidak berpenghuni, binaan rumah masih kukuh bahkan perabot-perabot dalam rumah juga masih dalam kondisi yang baik.
Minggu pertama aku di rumah itu, Ijam sentiasa ada bersamaku. Kami memilih kamar di tingkat bawah sebagai bilik tidur kami kerana ianya lebih dekat dengan dapur dan ruang tamu. Segalanya berjalan lancar, aku merasakan hubungan aku dan Ijam semakin rapat dan perasaan cintaku padanya semakin kuat. Hampir setiap malam, Ijam akan membawaku keluar bersamanya ke kelab-kelab malam di sekitar Kota Kinabalu. Sehinggalah suatu malam, aku memilih untuk tidak ikut mengikutinya clubbing kerana aku ada midterm penting keesokkannya.
Jam sudah menunjukkan 1 pagi, aku masih lagi menelaah buku-buku di bilik tidur manakali Ijam masih lagi belum pulang. Berkali-kali aku menghubunginya agar segera pulang namun Ijam masih leka berkaraoke sambil meneguk Tiger di sebuah kelab malam di Tanjung Aru. Sedang aku sibuk menghafal formula, kedengaran seperti bunyi pintu tandas dibuka dan ditutup tetapi aku abaikan kerana menyangka itu cuma angin ataupun jiran sebelah. Beberapa minit selepas itu, kedengaran tapak kaki naik menuju ke tingkat atas. Aku amati bunyi itu dan benar ianya datang dari rumah ini. Segera aku menjenguk ke luar bilik menyangka Ijam sudah balik tapi ternyata tiada sesiapa. Bahkan Ninja King hitamnya juga tidak kelihatan di garaj. Sekali lagi aku dengar pintu bilik di tingkat atas pula dibuka, aku pandang dari bawah tangga, tingkat atas rumah gelap gelita. Tanpa berfikir panjang, aku segera masuk semula ke bilik tidur dan cuba melelapkan mata.
Ijam adalah seorang kontraktor yang sering outstation ke seluruh Sabah, dia juga memiliki sebuah rumah lain di Damai. Oleh itu aku sering ditinggalakan sendirian di rumah terutama sekali selepas habis kelas. Jika ada Ijam, aku suka keluar setiap malam bersamanya, kami akan minum sehingga mabuk dan menikmati malam kami sebaik mungkin sehinggalah premis kelab malam itu tutup. Malam itu kami “moginum” di Venetien Club, tiba di rumah pada jam 3 pagi. Sebagai sampai, aku dengan badan terhuyang hayang dan kepala yang pening terpaksa turun dari kereta untuk membuka pagar. Jelas di depan mataku , aku terlihat bayangan hitam berbentuk susuk tubuh seperti budak berumur 10 tahun di balik pintu kaca yang ditutupi langsir. Ahhh mungkin cuma halusinasiku sahaja kerana aku sedang mabuk.
Ijam mendapat tender membaiki jalan raya di daerah utara Sabah, oleh itu akan akan bersedirian selama satu minggu di dalam rumah besar itu. Pada malam pertama tanpa Ijam bersamaku, aku yang sedang mandi dikejutkan dengan bunyi periuk belanga jatuh di atas lantai. Aku berasa pelik macamana periuk yang tersusun kemas di atas kaunter boleh jatuh ke lantai. Mungkinkah tikus?
Untuk makluman semua, ruangan mencuci pakaian terletak di bahagian belakang rumah. Bahagian belakang rumah pula menghadap hutan di sebelah kiri manakala sebelah kanan adalah taman permainan kanak-kanak yang agak usang tetapi masih boleh digunakan. Malam itu lebih kurang jam 11, aku sedang memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh apabila aku tiba- tiba terdengar bunyi seperti kanak-kanak sedang ketawa dari arah taman. Aku alihkan pandangan aku ke arah bunyi itu, tapi tiada sesiapa, taman itu juga gelap cuma diterangi cahaya bulan penuh. Mengikut logik akalku, siapalah yang sanggup bermain di taman yang usang di waktu malam begini, ibu bapanya tidak marahkah?
Malam seterusnya, sejurus selepas azan Maghrib berkumandang, aku naik ke tingkat atas untuk memasang lampu kerna hari pun sudah mulai gelap. Mana mungkin aku mahu membiarkan lampu tertutup setelah kejadian tempoh hari. Sedang aku menaiki anak tangga, aku terpandang ke tingkap luar yang menghadap terus ke taman permainan. Keadaan di taman itu sunyi tanpa ada seorang manusia pun. Bunyi angin menderu kedengaran jelas dari posisi aku berdiri, langkah aku terhenti apabila aku terpandang seorang budak kecil sedang berdiri di balik pokok manga berdekatan dengan gelongsor yang sudah rosak. Budak itu hanya berdiri statik membelakangi aku tanpa ada sedikit pergerakan pun. Aku meneruskan niat ku naik ke atas untuk memasang lampu, selepas beberapa minit aku turun semula dan aku dapati budak itu sudah tidak ada di taman, tapi bunyi tangisan itu masih kedengaran perlahan.
Pada malam yang sama, tidurku dikejutkan dengan bunyi-bunyian dari dapur. Sesekali aku dengar seperti mesin air Coway ditekan, bunyi pintu sejuk dibuka dan ditutup serta bunyi almari dihempas kuat. Waktu itu apa yang paling aku takutkan bukanlah hantu, sebaliknya aku takut jika ada perompak. Aku hanya mampu mendiamkan diri di atas katil dan berharap segala ganguan itu akan segera dihentikan. Aku tidak sedar bila aku terlelap tetapi apabila aku bangun keesokannya aku lihat lampu didapur telah dimatikan sedangkan malam itu aku yakin aku telah hidupkan suis lampu tersebut. Risau jika ada penceroboh, aku segera berlari ke bilik di tingkat atas untuk memastikan tiada barang yang hilang. Aku lega melihat peti besi Ijam berada dalam keadaan yang asal, isi kandungannya di dalamnya juga tidak terusik. Jika bukan perompak, jadi apakah yang menyebabkan kejadian semalam itu?
Satu kejadian yang aku tidak boleh lupa adalah sewaktu aku sedang terlantar keseorangan kerana demam di rumah. Lebih kurang jam 5 petang, tapi cuaca waktu tu agak gelap kerana hujan lebat dari pagi. Aku baru sahaja hendak terlelap tetapi segera terbuka mataku apabila aku dengar seperti bunyi plastic direnyuk-renyuk di luar pintu bilik. Tidak semena-mena aku terpandang kearah penjuru bilik, aku lihat ada satu susuk tubuh kecil sedang memerhatiku. Baju yang dikenakannya sama seperti baju yang dipakai oleh budak yang aku lihat di taman permainan tempoh hari.Namun kali ini wajahnya Nampak jelas, mukanya pucat kekuningan, tiada sebarang ekspresi di wajahnya. Bibirnya pula berwarna sedikit kebiruan. Akuyang pada waktu itu dalam keadaan lemah hanya mampu berkata “ Jangan kacau aku, aku demam dan mahu berehat.” . Aku pejamkan mata aku dan terlelap tanpa mengendahkan makhluk itu. Sedar sahaja aku dari lelap, aku lihat jam di telefon bimbit sudah menunjukkan jam 2 pagi. Keadaan bilik gelap gelita, berbekalkan lampu telefon aku segara bungkas bangun untuk memasang lampu. Sewaktu tanganku mencapai suis lampu, aku dapat rasakan ada satu tangan lain yang sejuk sedang menyentuhku. Serta merta bulu roma ku berdiri dan aku terus teringat kepada budak lelaki yang muncul tadi petang.
Kelibat budak itu juga seringkali muncul dalam mimpiku. Pernah aku bermimpi aku berada di satu kawasan belukar, ditengah-tengah kawasan itu terdapat tasik yang sederhana besar. Di hujung tasik itulah aku lihat budak lelaki yang sama sedang berdiri memandang ku. Apabila aku cuba hendak mendekatinya, aku merasa seperti terjatuh dari satu tempat yang tinggi dan aku pun terjaga dari tidurku. Apabila aku menceritakan segala ganguan itu kepada Ijam, dia akan naik angin dan membentakku mengatakan itu cuma halusinasi dan aku mengalami schizophrenia.
Gangguan budak lelaki misteri itu terhenti di malam Ijam menghalau aku keluar dari rumahnya. Sejak aku berpindah keluar, tiada lagi ganguan paranormal seperti yang aku alami sewaktu berada di rumahnya. Tahun lepas, aku menerima berita yang Ijam telah terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Meski merasa sangat terkesan dengan perpisahan kami, tapi aku tidak pernah menyimpan dendam pada Ijam. Aku doakan dirinya memperoleh ketenangan dan diampunkan segala-gala dosa yang pernah dilakukanya. Al-Fatihah.
Hingga saat ini, apa yang paling misteri ialah kenapa wajah budak lelaki itu hampir serupa dengan Syafiq, anak sulung kepada Ijam dan bekas isterinya. Apa kaitan Ijam dengan kelibat budak misteri itu ??
Cerita Ni Admin Copy Bulat-Bulat dari – fiksyenshasha