Sabah Lubuk Emas Baharu Negara

Sabah dikategorikan sebagai lubuk emas baharu negara dengan kejayaan hasil pengeluaran RM40 juta direkodkan dalam masa kurang setahun.

KUALA LUMPUR: Sabah merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai potensi perlombongan emas yang besar berdasarkan kepada sumber-sumber yang telah dikenal pasti daripada kerja-kerja cari gali dan penjelajahan yang dijalankan.

Bagaimanapun, hanya sebuah sahaja yang beroperasi iaitu di Balung, Tawau. Lombong emas tersebut mendapat pajakan melombong emas seluar 945 hektar atau 2,338 ekar.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, lombong berkenaan mula membuat pengeluaran emas pada September 2018 dan sehingga Mac 2019, sebanyak 230,000 gram emas telah direkodkan dengan nilai lebih kurang RM40 juta.

“Berdasarkan kepada laporan permohonan pembaharuan Skim Pengendalian Melombong di bawah Akta Pembangunan Mineral 1984, sumber emas yang masih terdapat di lombong itu adalah sekitar 6,500 kilogram.

“Sabah kini menjadi salah sebuah negeri pengeluar emas utama di Malaysia. Bagaimanapun Pahang dan Kelatan masih merupakan pengeluar utama emas di negara ini,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Katanya, perlombongan tanpa mengira jenis mineral adalah bergantung kepada sumber atau rizab yang ada.

Bagi mengetahui sumber atau rizab mineral, kerja cari gali atau penjelajahan perlu dilakukan dan untuk itu, lebih banyak lesen mencari gali perlu dikeluarkan.

Justeru, peranan Kerajaan Negeri penting untuk mengeluarkan lebih banyak lesen bagi menjalankan kerja-kerja mencari gali untuk mendapatkan lebih banyak mineral.

“Berdasarkan kepada prestasi satu-satunya lombong emas di Sabah setakat ini, pengeluarannya agak memberangsangkan dan dijangka dapat mengekalkan pengeluarannya untuk beberapa tahun akan datang berdasarkan kepada sumber atau rizab yang telah dikenal pasti.

“Begitupun, Sabah masih mempunyai beberapa kawasan lain yang telah dikenal pasti mempunyai sumber emas untuk dibangunkan antaranya Ranau, West Sualog dan Kiabau.

“Jadi prospek perlombongan emas di Sabah adalah amat cerah dengan dibantu oleh sokongan padu Kerajaan Negeri untuk memberikan lebih banyak tanah untuk kerja-kerja cari gali atau penjelajahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahar Effendi memberitahu, pada tahun 2018, terdapat 19 buah lombong emas yang beroperasi di seluruh negara iaitu 10 lombong di Pahang, enam di Kelantan, dua di Terengganu dan sebuah di Sabah.

Pahang masih lagi memegang ‘takhta’ pengeluar utama emas negara pada tahun 2018 dengan pengeluaran sebanyak 1.5 juta gram diikuti dengan Kelantan (1.13 juta gram) dan Sabah (75,750 gram).

Lombong emas di Terengganu masih tidak mencatatkan pengeluaran pada tahun yang sama kerana masih dalam peringkat pembangunan lombong.

“Pengeluaran emas pada tahun 2018 adalah sebanyak 2.7 juta gram dengan nilai anggaran lebih kurang RM518.73 juta.

“Sehingga kini, Malaysia mempunyai sumber emas sebanyak 115 juta gram dengan nilai anggaran RM9.9 bilion di kelima empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Sabah, Terengganu dan Sarawak,” jelasnya.

Bercakap mengenai aktiviti perlombongan haram, Shahar Effendi memberitahu, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, perlombongan haram adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut Enakmen Mineral Negeri.

JMG hanya membantu menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan perlombongan haram yang diketuai oleh agensi Kerajaan Negeri.

“Berkenaan dengan JMG Sabah, buat masa ini tiada pemantauan berkala dapat dijalankan dalam membendung kegiatan perlombongan haram disebabkan ketiadaan punca kuasa dalam Ordinan Melombong 1960 yang dikuatkuasakan di bawah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

“Namun begitu, kami di ibu pejabat akan membantu dalam aspek teknikal sekiranya Pihak Berkuasa Negeri ingin memohon bantuan dan sokongan dalam pemantauan berkala,” jelasnya.

Berkenaan dengan persepsi negatif perlombongan, kata beliau, JMG memandang serius tentang isu yang berkaitan dengan pencemaran yang didakwa mungkin berlaku berpunca daripada kerja-kerja perlombongan.

Untuk itu, JMG telah mengubah undang-undang supaya dikenakan penalti yang berat sekiranya berlaku perlanggaran syarat berkaitan alam sekitar dari segi perlombongan haram.

“Sekiranya berlaku, kita boleh ambil tindakan yang tegas. Malahan kalau ikut kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, kita akan mengenakan tindakan yang paling maksimum.

“Pihak yang didapati bersalah akan dikenakan dengan RM500,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *