Polis Sabah tahan seorang lelaki, rampas tenggiling beku bernilai RM8.4 juta

FOTO BERNAMA

TUARAN, 9 Feb- Polis Sabah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas tiga kontena memuatkan 1,860 kotak berisi daging tenggiling beku bernilai kira-kira RM8.4 juta di sebuah gudang pengumpulan di Kampung Bontoi, Jalan Tamparuli, dekat sini, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata ia susulan serbuan dilakukan polis dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di sebuah kilang memproses daging dan kulit tenggiling secara haram di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan, Jalan Sepanggar-Manggatal, pada Khamis lepas.

Omar berkata dalam serbuan dan pemeriksaan di kilang itu kira-kira 8.46 malam, polis dan pegawai JHL Sabah turut merampas sebuah kenderaan serta 35 ekor tenggiling hidup disimpan di belakang bonet kereta itu selain turut menemui dua karung plastik berisi sisik tenggiling dan sebuah alat penimbang digital.

“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM8.4 juta meliputi 61 tenggiling hidup, 361 kilogram sisik tenggiling, 572 ekor tenggiling beku, tiga kontena berisi 1,860 kotak tenggiling beku, dua ketul kaki haiwan disyaki beruang, empat ekor keluang bakau beku dan beberapa kenderaan dirampas di kilang itu,” katanya dalam sidang media di gudang itu, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji, Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail dan Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga.

Omar berkata hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berumur 35 tahun terbabit bertindak sebagai pengurus kilang yang dipercayai telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata suspek dipercayai membeli kesemua tenggiling itu daripada pemburu haram yang kemudian akan dikumpulkan sebelum dihantar ke kilang terbabit untuk diproses oleh pekerja kilang.

“Daging tenggiling akan dibungkuskan, dikotakkan dan dihantar ke tempat penyimpanan gudang ini yang disewa sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan dan Sarawak,” katanya yang tidak menolak kemungkinan daging tenggiling beku itu turut dipasarkan ke luar negara.

Dalam pada itu, Omar berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu terlibat dalam kes itu termasuk pemilik dan pekerja kilang selain mengesan pemburu haram berikutan memburu dan memproses spesies hidupan liar dilindungi seperti tenggiling adalah satu kesalahan dan boleh ditangkap.

“Polis juga akan menyiasat mana-mana restoran membeli tenggiling atau spesies hidupan liar dilindungi yang lain,” katanya, yang turut meminta kerjasama orang ramai untuk tampil sekiranya mempunyai maklumat mengenai kes pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara selama tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun.

Tenggiling merupakan spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya di Sabah mengikut Jadual 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *