PPM tahan PATI dekat CIQ

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki warga asing ketika cuma memasuki daerah secara haram melalui Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di Tawau. – Foto ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba memasuki negara ini secara haram di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau, pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata kedua-dua lelaki itu ditahan ketika menaiki sebuah bot laju oleh sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan Ops Gelora di kawasan berkenaan jam 11.40 pagi.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, juragan memecut bot menuju ke arah kompleks CIQ lama sebelum melarikan diri dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju berkenaan mendapati ada dua penumpang tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kedua-dua penumpang lelaki masing-masing berumur 17 dan 21 tahun itu ditahan atas kesalahan memasuki negara ini secara haram tanpa memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau pasport perjalanan yang sah,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-kedua suspek bersama barang rampasan (bot laju) dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki suku Pala’uh selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasa perairan Pulau Sisipan, Semporna. – Foto ihsan PPM

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki Bajau Pala’u ditahan selepas didapati menangkap ikan menggunakan bahan letupan (bom ikan) di perairan Pulau Sisipan, Semporna petang semalam.

Mohamad Pajeri berkata, lelaki berumur 40 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan di dalam bot menemui 10 kilogram (kg) ikan yang disyaki ditangkap hasil aktiviti pengeboman ikan.

“Suspek ditahan bersama barang rampasan termasuk sebuah pam bot, compressor, google, fin, jaring ikan dan hos getah, dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *