Mengaku cabul amah

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte sekali lagi mengundang kontroversi dan menimbulkan kemarahan wanita selepas membuat pengakuan terbuka pernah ‘menyentuh’ pembantu rumahnya ketika masih remaja.

Pengakuan itu menyebabkan kumpulan hak wanita menuduh presiden berkenaan cuba merogol dan menggalakkan penderaan seksual.

Duterte kerap mengundang kontroversi, terutama membabitkan wanita dengan kenyataannya mengenai wanita, termasuk jenaka rogol dan menggalakkan zina.

Dalam kenyataan terbaru, Duterte menceritakan pengakuannya kepada paderi ketika di sekolah tinggi, memperincikan bagaimana beliau memasuki bilik pembantu rumahnya ketika wanita itu sedang tidur.

“Saya menyelak selimut dan cuba menyentuh apa yang ada di sebalik seluar dalamnya.

“Saya menyentuh dan dia terjaga. Saya keluar dari bilik,” kata Duterte dalam ucapan di sini, kelmarin.

Duterte memberitahu paderi, beliau kembali ke bilik pembantu rumah berkenaan dan cuba mencabul wanita itu sekali lagi.

Parti politik yang memperjuangkan hak wanita, Gabriela, mengecam kenyataan itu dan menggesa Duterte meletak jawatan kerana presiden berkenaan mengaku cuba merogol.

“Rogol bukan hanya menerusi zakar. Jika ia cuma jari atau objek lain, itu dianggap rogol.” kata Setiausaha Agung Gabriela, Joms Salvador.

Memberi reaksi kepada kritikan itu, jurucakap Duterte berkata, presiden berkenaan ‘mengada-adakan’ dan ‘menambah’ cerita.

Duterte, 73, membuat kenyataan itu ketika mengutuk Gereja Katolik berhubung dakwaan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Presiden itu yang melabelkan gereja sebagai ‘institusi paling hipokrit’, berkata, beliau dan rakan sekelasnya dicabul ketika sesi membuat pengakuan. – AFP

211