Anak Jati Sabah Pikat Hollywood

Kesabaran Putri Purnama Sugua berbaloi apabila Rumah Nda Bertanah disenarai pendek menerima Biasiswa Snow Leopard pada Festival Filem Asia Dunia Keenam anjuran Hollywood Foreign Press Association (HFPA).

KUALA LUMPUR: Bukan sedikit rintangan ditempuhi pembikin filem muda, Putri Purnama Sugua dalam menyiapkan filem pendek berjudul Rumah Nda Bertanah, hampir dua tahun lalu.

Semangatnya luntur tatkala diduga tanpa henti, sehingga pada suatu peringkat, dia enggan meneruskan lagi penggambaran.

“Banyak dugaan saya dan pasukan produksi hadapi ketika hendak memulakan penggambaran. Kisah bermula dengan saya ditimpa kemalangan hingga kereta rosak teruk atau ‘total lost’. Saya juga perlu menjalani pembedahan kaki akibat kecelakaan itu.

Filem pendek, Rumah Nda Bertanah diilhamkan daripada kisah benar, malah mengambil pelakon kanak-kanak yang tiada status kewarganegaraan untuk menjadikan karya lebih realistik.

“Sehari selepas pembedahan, saya keluar dari hospital dan menyambung kerja-kerja terbengkalai. Kemudian, penggambaran pula yang sepatutnya berlangsung lima hari terpaksa disingkatkan kepada tiga hari.

“Ini menyebabkan pengisian atau maksud yang ingin disampaikan dalam Rumah Nda Bertanah seolah-olah tidak sampai,” katanya kepada BH Online.

Putri berkata, pihaknya juga berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang penggambaran.

“Setiap kali ingin memulakan penggambaran, hujan tidak henti-henti. Apabila kami berhenti ‘shooting’, hujan berhenti pula.

“Seolah-olah tidak mengizinkan kami meneruskan kerja sehingga saya hampir menyerah kalah,” katanya yang melakukan penggambaran filem pendek itu di tanah kelahirannya di Sandakan, Sabah.

Hampir berputus asa, Putri bagaimanapun beroleh semangat apabila teman-teman sanggup ‘terbang’ dari Kuala Lumpur membantunya di lokasi. Serta-merta semangat Putri melonjak untuk menyiapkan naskhah berkenaan.

Biarpun tidak dapat menyampaikan apa yang dimahukan dalam filem itu, namun, Putri menganggap pengalaman dan detik jatuh bangun lebih berharga dan mematangkan mereka.

Kesabaran wanita berusia 28 tahun itu berbaloi apabila Rumah Nda Bertanah disenarai pendek untuk menerima Biasiswa Snow Leopard pada Festival Filem Asia Dunia Keenam anjuran Hollywood Foreign Press Association (HFPA).

HFPA adalah penganjur Anugerah Golden Globe yang mempertandingkan filem terbaik Hollywood dan seluruh dunia, setiap tahun. Festival Filem Asia Dunia Keenam berlangsung secara online selama lima hari mulai hari ini.

Naskhah sentuhan Putri bersaing dengan 11 karya lain dari seluruh dunia antaranya China, Lebanon, Kyrgyzstan, Nepal, Iran dan Armenia. HPFA akan menilai setiap penyertaan dan memilih karya terbaik yang bakal dianugerahkan Biasiswa Snow Leopard.

Pembikin filem muda, Putri Purnama Sugua.

Terkejut dengan pencalonan itu, Putri yang juga graduan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, pengarah dan penerbit, Haris Sulong yang menghantar pencalonan kepada penganjur.

“Beberapa minggu lalu, saya mendapat panggilan Haris memaklumkan dia menghantar Rumah Nda Bertanah untuk kategori filem pendek.

“Selain filem saya, Haris juga menghantar beberapa penyertaan lain. Pada mulanya, Haris tidak maklumkan kepada saya kerana tidak tahu sama ada filem itu terpilih ataupun tidak.

“Apabila filem saya disenarai pendek, barulah Haris beritahu saya,” katanya.

Putri pernah menghantar karya dihasilkannya menyertai Festival Filem Pendek Antarabangsa Calcutta, tahun lalu dan turut disenarai pendek.

“Bagaimanapun, kali ini, saya amat terkejut apabila nama disenaraikan dalam festival yang amat berprestij. Ini antara pengiktirafan yang sangat tinggi buat saya,” katanya yang pernah memenangi pelbagai biasiswa dan anugerah sebelum ini.

Berkongsi mengenai naskhah Rumah Nda Bertanah, Putri berkata, filem pendek itu berkisar kanak-kanak lelaki bernama Toteng lakonan Rahim Jimlali) berusia 11 tahun yang tidak mempunyai kerakyatan.

Suatu hari, Toteng yang bekerja di pusat pengumpulan sampah bersama ibunya, terjumpa sebuah buku lalu menunjukkan kepada kakaknya.

Bagaimanapun, persoalan yang dibangkitkan kakaknya menyebabkan Toteng yang buta huruf, berminat mengetahui isi kandungan buku berkenaan.

Sejak itu, setiap hari dia akan ‘mencuri’ wang 50 sen daripada ibunya supaya dia dapat menghadiri kelas dikendalikan seorang guru di tapak pelupusan sampah terbabit.

Putri berkata, naratif akhir kisah Rumah Nda Bertanah diilhamkan daripada kisah benar. Malah, Putri mengambil pelakon merangkumi anak-anak yang tiada status kewarganegaraan untuk menjadikan karyanya lebih realistik.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Putri mengangkat kisah kanak-kanak yang tiada status kerakyatan. Putri pernah menghasilkan naskhah seperti Mimpi Untuk Terbang, Aku Mau Skola dan Jiwa Yang Ndak Kelihatan yang berkaitan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Saya membesar dan melihat bagaimana kesukaran dihadapi anak-anak yang tiada status ini. Mereka dinafikan hak untuk bersekolah, semata-mata kerana mereka tidak memiliki dokumen.

“Jadi, kebanyakan skrip yang saya tulis diilhamkan daripada situasi itu. Kisahnya lebih dekat dengan saya dan yakin impaknya lebih kuat.

“Saya tidak menggunakan watak profesional sebaliknya hanya menggunakan watak amatur saja dan tiada uji bakat dibuat,” katanya.

Putri berkata, kebanyakan filem yang dihasilkan lebih kepada kritikan sosial yang berkisar kehidupan dan impian kanak-kanak yang tercicir daripada pendidikan disebabkan status mereka.

“Mereka hanya menjadi mangsa dan saya tidak mahu ada pihak menuding jari pada kanak-kanak ini,” katanya.

Menurut Putri lagi, dia yakin kanak-kanak tidak berstatus itu masing-masing ada impian.

Baginya, dia bernasib baik kerana mempunyai dokumen pengenalan diri dan kerakyatan serta beruntung kerana dapat meneruskan cita-cita diimpikan.

“Kanak-kanak ini kalau diberi pilihan, betapa banyak sumbangan boleh mereka berikan kepada negara. Memang ramai yang bertanya kenapa saya hasilkan mengenai kanak-kanak ini.

“Setiap kali saya menghasilkan filem, saya akan meletakkan diri saya ke dalam jiwa kanak-kanak itu. Mereka juga tentunya ada impian mahu ke sekolah. Tetapi apabila melihat mereka terpaksa bekerja di pusat pembuangan sampah pada usia 7 hingga 8 tahun dengan pendapatan RM3 hingga RM5 sehari demi menyediakan makanan untuk keluarga, hati saya merasa amat tersentuh.

“Perasaan itulah yang saya garap menjadi isi kepada kebanyakan filem saya supaya mereka yang menonton boleh berdiskusi mengenainya,” katanya.

Filem pendek Rumah Nda Bertanah yang menerima geran daripada Pesta Filem Kita (PFK) 2019 bernilai RM9,000, pernah memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik dalam PFK 2019.

Filem pendek berdurasi 17 minit 48 saat ini meraih Anugerah Rekaan Produksi Terbaik pada Anugerah Filem Digital Malaysia 2019.

Putri juga terpilih menerima biasiswa Akademi Filem Asian pada 2017 yang melayakkannya mengikuti pengajian pendek filem selama tiga minggu di Busan, Korea. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *