Borneo Street Di Kuala Lumpur Pacu Industri Pelancongan Sabah & Sarawak

Koleksi perhiasan diri dari Borneo pilihan pelancong

KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan Borneo Street di ibu kota dengan menempatkan pelbagai produk dan barangan unik dari Sabah dan Sarawak dianggap inisiatif terbaik bagi mempromosikan kawasan pedalaman dan menyemarakkan sektor pelancongan di kedua-dua negeri itu.

Rata-rata usahawan kecil negeri itu bersetuju itu menyifatkan ia sebagai platform untuk mempromosikan keunikan dan keindahan di kepulauan Borneo.

Koleksi perhiasan diri dari Borneo pilihan pelancong

Jururawat, Rosaini Paulus, 28, yang juga peniaga sambilan yang menjual produk makanan dari Tambunan, Sabah berkata apabila produk dihasilkan di Borneo dibawa ke Semenanjung sekali gus memberi pendedahan pelbagai produk suku kaum di pedalaman.

Katanya, ramai rakyat tempatan dan pelancong asing yang tidak berpeluang melawat ke dua-dua negeri itu dapat melihat membeli produk terbabit.

Koleksi perhiasan diri dari Borneo pilihan pelancong

“Contohnya sajian makanan delinipot, ramai yang tidak tahu. Promosi makanan itu seharusnya diperhebatkan lagi ke seluruh negara kerana ia adalah makanan tradisi suku kaum Kadazan dan Dusun.

“Sajian itu menggunakan beras huma, iaitu beras kampung padi berwarna merah yang juga popular di Sabah,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan pameran barangan Borneo di pusat beli-belah KLCC, baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang sedang mempertimbang cadangan mewujudkan Borneo Street sebagai pusat perniagaan dan pengkomersialan produk Sabah dan Sarawak.

Borneo Street akan menghimpunkan peniaga anak negeri Sabah dan Sarawak, untuk mengkomersialkan produk yang melambangkan keunikan kepelbagaian etnik di dua negeri berkenaan.

Kuih-muih tradisional unik

Rosaini berkata, antara makanan popular lain dari Sabah ialah ambuyat, imai atau inaba juga mempunyai keistimewaan tersendiri yang sepatutnya dicuba oleh pelancong tempatan dan asing.

Kuih-muih tradisional itu sukar diperoleh kerana hanya dihasilkan lima bulan sekali ketika pesta menuai. Justeru, pelancong boleh berkunjung ke Sabah sempena pesta menuai menyaksikan keunikan menghasilkan sajian berkenaan menggunakan beras merah berkenaan.

“Dengan pembukaan Borneo Street, pelanggan yang meminati produk atau bahan mentah dari Sabah juga tidak perlu ulang-alik ke negeri itu sebaliknya boleh dapat dengan mudah di pusat sehenti itu,” katanya.

Jana pendapatan

Pengusaha batik Sarawak, Caroline Lian, 39, yang berasal dari Baram, berkata pembukaan Borneo Street boleh membantu usahawan kecil-kecilan dari pedalaman menjana pendapatan yang lumayan.

Katanya, aktiviti jualan itu dapat meningkatkan taraf ekonomi negeri dan usahawan kecil di Sarawak dan Sabah. Ramai rakyat di dua negeri itu menetap di Semenanjung dan mereka boleh membantu mempromosi produk berkenaan dan meningkatkan pendapatan.

“Jika Borneo Street diwujudkan ia juga boleh mempromosi produk unik dan lokasi menarik di Gunung Mulu. Terdapat banyak rumah panjang dan didiami oleh etnik Kenyah di Gunung Mulu.

“Pelancong yang datang boleh merasai pengalaman menarik dengan perjalanan mencabar mengambil masa selama lapan dan dan menaiki bot pula selama 40 minit ke sana.

“Menariknya di penghujung pengembaraan, pelancong boleh menikmati pemandangan air terjun yang indah dan menyejukkan. Selain itu pelancong boleh juga belajar menanam padi di sana,” katanya.

Caroline berkata, sebagai persediaan menerima kedatangan pelancong, penduduk di kawasan pedalaman di sana perlu bersikap terbuka dan bersatu hati menyediakan rumah inap yang menarik dan selesa. Selain padi, antara produk menarik di Sarawak ialah koleksi fabrik bermotifkan pua kumbu yang menjadi satu-satunya motif paling unik berasal dari Sarawak.

Bagi memenuhi keperluan itu, kerajaan perlu menyediakan Bornea Street untuk memasarkan produk keluaran usahawan dari Sabah dan Sarawak di lokasi yang strategik bagi memudahkan pelancong dalam serta luar negara mengunjunginya.

Pengerusi dan Penasihat Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor, Dr Lawrence John, berkata banyak produk kraftangan yang menarik dihasilkan terutama makanan dan pakaian.

Katanya, masih ramai penduduk di negara ini tidak tahu dan mengenali produk keluaran dari pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak berikutan kurang pendedahan dan promosi berkaitannya.

“Usaha itu sekali gus menggalakkan masyarakat Sabah dan Sarawak aktif menjalani perniagaan dan meningkatkan sumber pendapatan mereka. Pelancong pula sentiasa inginkan sesuatu yang berbeza dan unik untuk dibawa balik sebagai cenderahati dan kenang-kenangan,” katanya.

500,000 menetap di ibu kota

Beliau berkata, apabila produk itu dibawa ke ibu kota ia akan memperluaskan lagi mempromosi produk, selain lokasi menarik dari mana barangan itu dihasilkan.

Katanya, sekiranya pembeli dalam kalangan pelancong tertarik dengan produk yang dihasilkan secara tidak langsung ia dapat mempromosikan tempat berkenaan.

“Dianggarkan lebih 500,000 anak jati Sabah dan Sarawak direkodkan menetap di Semenanjung. Mereka boleh bertindak menjadi orang tengah yang membawa produk berkenaan.

“Produk yang ditonjolkan kira-kira 40 hingga 50 peniaga bukan dibawa 100 peratus tetapi hanya 20 peratus saja. Namun sekiranya pelancong ingin tahu lebih mendalam mereka boleh melancong ke Sabah dan Sarawak.

“Mereka juga boleh menikmati pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan dan merasai pengalaman sendiri penduduk setempat,” katanya.

Beliau menyasarkan Borneo Street juga akan dibuka di United Kingdom (UK) dengan menfokus kepada francais dengan mengekalkan standard.

INFO:

* 65 etnik masyarakat di Sarawak

* 30 etnik masyarakat di Sabah

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *