
LAHAD DATU : Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh melibatkan rakan sekerja mereka yang ditemui di sebuah rumah di kawasan kebun kelapa sawit di Ulu Segangan, Silabukan, di sini pada Sabtu.
Pasangan suami isteri yang juga warga asing masing-masing berusia 29 tahun itu ditahan pada hari yang sama selepas kejadian tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes bunuh melibatkan mangsa warga asing berusia 23 tahun.
“Mangsa ditemui meninggal dunia pada jam 9.30 pagi oleh penyelia ladang yang merupakan rakan sekerjanya.
“Mangsa ditemui dengan kecederaan di bahagian belakang badan akibat senjata tajam dipercayai pisau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya lagi, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan dua individu bagi membantu siasatan.
“Pasangan suami isteri terbabit merupakan rakan sekerja mangsa dan mereka telah ditahan pada jam 1.30 tengah hari.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Jimmy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
SumbeR: Sinar Harian