
KOTA KINABALU: Umno Sabah terbuka untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN, tetapi hanya jika gabungan parti tempatan itu ikhlas dalam rundingan pembahagian kerusi, kata ketuanya Bung Moktar Radin.
Mendakwa GRS sering mengubah pendirian selepas persetujuan dicapai, Bung berkata: “Kami masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan, tetapi mereka mesti ikhlas. Kami tidak mahu ketidakikhlasan.
“Apa yang saya maksudkan dengan tidak ikhlas ialah hari ini kita bersetuju sesuatu, esok mereka ubah pendirian atau keputusan mengenai kerusi atau meletakkan calon mereka sebagai calon bebas di kerusi kita tandingi,” katanya kepada FMT.
Bung berkata tuntutan kerusi yang bertindih di kawasan seperti Pantai Dalit dan Tanjong Keramat menyukarkan rundingan.
“Sebab itu GRS perlu bersikap ikhlas semasa berunding dengan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Bung berkata Umno tidak menjangkakan masalah besar dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam soal pengagihan kerusi, kerana kedua-dua gabungan itu biasanya bertanding di kawasan berbeza — PH di kawasan bandar, manakala Umno di kawasan luar bandar.
Beliau menambah bahawa Umno Sabah bercadang untuk bertanding di 35 kerusi, meningkat daripada 32 pada pilihan raya negeri yang lalu.
Pada 3 Jun lalu, Berita Harian melaporkan kenyataan Bung yang Umno hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN, memandangkan sejarah hitam dilaluinya ketika bersama sebelum ini.
Barisan Nasional (BN) dan PH sebelum ini telah mengumumkan pembentukan pakatan untuk menghadapi PRN Sabah yang mesti diadakan sebelum hujung tahun ini.
Namun, pengumuman itu mendorong GRS mengancam bergerak secara solo. Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian campur tangan dan menggesa PH-BN untuk bekerjasama dengan gabungan negeri tersebut.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Masiung Banah, dilaporkan berkata GRS dijangka bertanding sekurang-kurangnya 53 kerusi, manakala PH akan bertanding 20 kerusi di bawah perjanjian pilihan raya mereka.
GRS dan PH kini sekutu dalam kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor, manakala BN berada di blok pembangkang dalam DUN Sabah.
SumbeR: FMT
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah