Kerja Pan Borneo Lembab Akibat Isu Pengambilalihan Tanah dan Utiliti

Shahelmey ketika meninjau kemajuan kerja projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Pakej Kerja 19, di Lahad Datu.

TAWAU :Kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya melibatkan laluan dari Lahad Datu ke persimpangan Check Point Tawau-Semporna, dilaporkan masih perlahan berikutan isu pengambilalihan tanah dan pengalihan utiliti yang belum diselesaikan sepenuhnya.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, walaupun kontrak bagi beberapa pakej utama iaitu Pakej 16 hingga 20 telah dianugerahkan sejak September tahun lalu, namun perkembangan kerja fizikal masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Hasil tinjauan saya semalam di jajaran tersebut, kerja-kerja semasa yang dapat dilihat hanyalah melibatkan pembersihan tapak, pembentukan jajaran, serta pembinaan struktur awal seperti culvert,” katanya selepas lawatan kerja ke Tawau hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR), juru perunding serta kontraktor terlibat agar menyemak semula jadual kerja dan mengenal pasti segmen yang boleh dimulakan lebih awal, sementara proses berkaitan tanah dan utiliti sedang diselesaikan.

Shahelmey turut menekankan bahawa pendekatan proaktif amat penting bagi mengelakkan kelewatan keseluruhan projek, yang akan memberi kesan kepada pengguna jalan raya dan matlamat pembangunan infrastruktur negeri.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan keperluan menjaga aspek keselamatan dan pengurusan trafik sepanjang tempoh pembinaan, memandangkan laluan sedia ada masih digunakan oleh orang awam.

“Kontraktor bertanggungjawab memastikan pengurusan trafik berjalan dengan lancar dan mematuhi semua langkah keselamatan.

Saya juga menekankan agar penyelenggaraan jalan dilakukan secara berkala. Sebarang kerosakan seperti lubang jalan perlu ditampal segera demi keselamatan pengguna,” tegas beliau.

Projek Pan Borneo Sabah merupakan antara projek berimpak tinggi yang diharapkan mampu merangsang pembangunan ekonomi dan memperkukuhkan jaringan infrastruktur negeri dalam jangka panjang.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *