Lelaki Hilang Tangkap Ketam Ditemui Lemas Di Pitas

Mangsa ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.

KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti menangkap ketam ditemukan lemas di pesisir pantai Kampung Rosob, Pitas di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas,

 Noor Jali Maslah berkata, mangsa ditemukan pasukan penyelamat dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.55 petang.

“Mangsa, berumur 57 itu dilaporkan hilang pada malam 1 Mei, kira-kira jam 11 malam semasa keluar menangkap ketam bersama anak beliau. 

“Kejadian kemudian dimaklumkan kepada pihak polis oleh keluarga mangsa sebelum maklumat diterima BBP Pitas pada 11.58 pagi semalam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian ditemukan jam 1.55 petang, kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang. 

“Mangsa yang tidak sedarkan diri diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di Hospital Pitas,” katanya sambil menambah operasi keseluruhan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2:25 petang setelah keadaan sekitar lokasi disahkan selamat.

Operasi SAR turut dibantu Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *