Teks Perlembagaan Bahasa Melayu Tak Sah Tanpa Persetujuan Sabah, Sarawak

Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau berkata cadangan Pejabat Peguam Negara mengenai teks Perlembagaan berautoriti bahasa Melayu belum dibentangkan di Parlimen atau DUN Sabah dan Sarawak untuk dibahaskan.

KUALA LUMPUR : Sebarang langkah menggunapakai terjemahan bahasa Melayu bagi Perlembagaan Persekutuan sebagai teks rasmi tidak sah tanpa persetujuan Sabah dan Sarawak, kata Ahli Parlimen Sabah.

Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, berkata Perkara 161(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa digunakan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, melainkan perubahan diluluskan di DUN.

“Oleh itu, tindakan meminda dan menjadikan bahasa Melayu sebagai teks rasmi tanpa persetujuan Sabah Sarawak boleh dicabar sebagai tindakan tidak berperlembagaan kerana ia bertentangan dengan niat dan semangat peruntukan ini dalam undang-undang tertinggi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Bekas presiden Upko itu, berkata cadangan Pejabat Peguam Negara terbabit belum dibentangkan kepada Parlimen serta DUN Sabah dan Sarawak dan tertakluk kepada perbahasan dan penelitian yang secukupnya.

Isnin minggu lalu, Peguam Negara Idrus Harun, berkata pihaknya merancang mengemukakan kepada Putrajaya versi bahasa Melayu Perlembagaan sebagai teks berautoriti, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Cadangan itu dipersetujui Pemuda PAS, manakala beberapa NGO dan majlis perundingan agama ada menyatakan bantahan masing-masing.

Tangau berkata, versi bahasa Melayu digunakan sebagai teks sahih Perlembagaan dianggap proses pindaan Perlembagaan signifikan dan tidak seharusnya terletak pada Pejabat Peguam Negara sahaja.

“Adalah satu kesilapan besar menganggap projek transformatif mustahak ini sebagai kerja terjemahan mudah Bahasa Inggeris abad ke-20 kepada bahasa Melayu moden, dikendalikan segelintir pihak berkuasa sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.

“Tanpa proses demokrasi, prosedur ini boleh membawa kepada peningkatan ketegangan dalam hubungan persekutuan-negeri, mengganggu tanggungjawab kerajaan, mengancam hak asasi dan kebebasan asasi, dan kedaulatan undang-undang.”

Tangau yang juga pengerusi Wisdom Foundation, mencadangkan persidangan khas Parlimen dan DUN diadakan untuk membahaskan pindaan luar biasa Perlembagaan Persekutuan, termasuk menyelia proses terjemahan.

Beliau turut mencadangkan Pejabat Peguam Negara melakukan libat urus dengan pemegang taruh bagi mendapatkan input dan menjalankan tinjauan berhubung perkara itu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *