KUALA LUMPUR: Walaupun Sabah sudah tenang susulan rombakan Jemaah Menteri, namun Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata negeri itu masih bergelut dengan pergolakan politiknya.
Ini kerana, jelas Bung, pembentukan kerajaan negeri di peringkat awal hanya membabitkan antara Umno dan Perikatan Nasional (PN).
“Krisis politik memang tak boleh selesai. Walaupun di Sabah ini sudah tenang tetapi pergolakan dia masih belum selesai sebab pembentukan kerajaan di peringkat awal adalah daripada Umno dan PN.
“Ini juga menjadi satu persoalan. Tak mengapalah. Orang main politik, kita pun main politik,” katanya kepada media selepas ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Bung yang dilaporkan terbabit dalam usaha “menggulingkan” pentadbiran Hajiji Noor, digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri selepas rombakan Jemaah Menteri Rabu lalu.
Beliau sebelum ini antara tiga timbalan ketua menteri yang juga menteri kerja raya.
Bung digantikan Shahelmey Yahya, ADUN Barisan Nasional (BN) Tanjung Keramat, yang akan menyandang dua portfolio itu.
Dua lagi ADUN BN yang sebelum ini memegang jawatan menteri turut digugurkan iaitu ADUN Sukau Jafry Ariffin dan ADUN Karambunai Yakub Khan.
Selain itu, Bung menegaskan tindakan beliau terhadap kerajaan Hajiji bukan berniat untuk “menggulingkan” pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu sebaliknya mahu memperbetulkan hala tuju politik negeri agar Sabah menjadi negeri yang mampu dibangunkan.
“Guling dengan membentuk kerajaan lain, guling ini berniat jahat (tetapi) tujuan kita ni nak perbetulkan hala tuju politik supaya rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.
“Guling ini bermakna membinasakan… ada definisi berbeza, kita bukan mahu mengguling, kita mahu menentukan supaya rakyat Sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost