PRU15: Parti Harapan Rakyat Sabah Sedia Bantu Calon GRS

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah (tiga, kanan) bersama Anggota Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), para guru dan ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Tawau pada Program ‘Kita Bersama’ Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Sekolah.

TAWAU, 15 Okt : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) bersedia membantu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk berkempen dalam usaha menawan kerusi Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya Tan Sri Liew Yun Fah berkata prinsip Harapan Rakyat kekal, iaitu bersedia bertanding pada PRU15 jika diberi peluang oleh pucuk pimpinan GRS, dan tidak akan berebut kerusi malah akan membantu calon gabungan tersebut jika tidak terpilih.

“Kalau tidak diberi peluang (bertanding) kami akan bantu juga, kerana kami (parti) mahu melihat perubahan segera di Tawau. Pembangunan kurang dari dulu lagi, kerajaan bertukar-tukar ini susah, jadi kita mahu supaya (kerajaan) kukuh, baru Tawau ada pembangunan mapan.

“Bagi saya GRS lain, memiliki permuafakatan, perpaduan yang baik. Kami (Harapan Rakyat) meskipun tidak punya kerusi, tapi kami selalu dapat mengutarakan masalah kepada pucuk pimpinan (GRS) dan selalu diambil berat, jadi saya rasa (bertanding) bukan satu kepentingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kita Bersama Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi Parlimen Tawau dimenangi Datuk Christina Liew atas tiket PKR dengan memperoleh majoriti 4,727 undi dalam pertandingan empat penjuru.

GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional bagi mentadbir Sabah.

Selain Harapan Rakyat, parti mesra GRS terdiri daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *