Wakil Rakyat Lompat Parti Perlu Hilang Hak Pencen

KUALA LUMPUR : Seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya mana-mana wakil rakyat yang melompat parti dihukum dengan kehilangan hak daripada menerima pencen sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Selain itu, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) juga berpandangan wakil rakyat yang melompat parti juga perlu diwajibkan memulangkan semula semua elaun yang diterima sebagai Ahli Parlimen atau Adun.

Beliau percaya hukuman mengosongkan kerusi disandang semata-mata tidak mencukupi untuk mengekang tindakan lompat parti, sekali gus menyarankan dua hukuman tegas itu turut dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

“Saya tidak setuju wakil rakyat hanya perlu mengosongkan kawasan yang mereka menang selepas melompat, sebaliknya mereka juga perlu diarahkan memulangkan semula semua elaun yang diterima sepanjang bergelar Yang Berhormat.

“Mereka juga seharusnya tidak layak untuk menerima sebarang pencen. Mengosongkan kawasan saja tidak cukup untuk mengajar atau memberhentikan budaya lompat melompat daripada terus terjadi,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar itu, juga menggesa RUU itu melarang wakil rakyat yang melompat parti daripada bertanding dalam pilihan raya selama sepenggal.

“Mana mungkin orang yang telah mengkhianati mandat rakyat, masih diberi peluang untuk bertanding sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan menyelesaikan perkara pokok yang mendorong wakil rakyat melompat parti, iaitu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen yang tidak adil ketika ini.

Katanya, alasan tidak menerima peruntukan Ahli Parlimen kerap menjadi alasan wakil rakyat pembangkang melompat menyertai kerajaan.

“Peruntukan Parlimen seharusnya diberikan seadilnya kepada semua wakil rakyat, tidak kira mereka wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.

“Peruntukan Ahli Parlimen harus disalurkan melalui Parlimen, bukan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *