Wakil Rakyat Lompat Parti Perlu Digantung Satu Penggal – Shafie

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mencadangkan agar wakil rakyat yang melompat parti digantung satu penggal supaya tidak boleh bertanding pada pilihan raya berikutnya.

Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, perkara sebegitu perlu dimasukkan dalam Undang-Undang Anti Lompat Parti bagi mengawal individu agar tidak melompat parti.

Beliau berkata, dalam Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak disebutkan tindakan terhadap wakil rakyat yang bertanding dan menang dibawah payung satu parti kemudian bertindak melompat.

“Apa yang kita bahaskan di mahkamah bukan kebebasan dia melompat, kita mahu memberitahu bahawa kontrak yang dilakukan adalah dengan partinya. Misalnya, parti mendapatkan duit RM100,000 untuknya maka, dia perlu bayar balik kepada parti, dia perlu pulangkan semula.

“Ini bukan persoalan duit tapi ia mengenai kerangka undang-undang yang komprehensif bagi membolehkan RUU ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, demi kepentingan negara,” katanya semasa perbahasan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, perlu ada pendekatan yang jelas agar RUU ini boleh menjadi titik permulaan bagi membendung krisis politik negara yang sudah tercemar.

Dalam RUU yang ada, perlu ada tindakan yang berat bagi mengawal tindakan seorang individu yang melompat parti.

“Di Sabah, ada yang bertanding terkadang ada menerima imbuhan RM5 juta dan apabila bubar Dewan, ia dijadikan deposit tetap. Ia seperti satu perniagaan. Maka, saya cadangkan agar satu penggal YB yang melompat tidak boleg bertanding.

“Kita tidak mahu nanti, ada yang seperti YB Keningau yang sudah melompat macam-macam parti, sudah masuk tujuh parti. Kemana hala tuju kita,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, setiap negeri juga perlu melaksanakan RUU ini secepat mungkin untuk membolehkan negara mempunyai politik yang lebih stabil.

Katanya, kerjasama untuk melaksana RUU ini di peringkat negeri perlu agar RUU sebegini boleh dibentangkan dan diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bukan semata-mata tentang Ahli Parlimen tetapi juga perlu dikuatkuasakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *