Beberapa Lagi Kelonggaran SOP Akan Diumum – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA, 22 April: Kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan status negara yang kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Insya-Allah dari semasa ke semasa, KKM (Kementerian Kesihatan) akan mengumumkan sedikit kelonggaran demi kelonggaran untuk kita kembali seperti normal.

“Tetapi biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan negara lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, pada sidang media berasingan, Khairy ketika ditanya mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka di Malaysia hanya berkata: “Tunggu minggu depan.” 

Beliau berkata setakat ini, kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan wabak COVID-19. 

Beliau berkata meskipun negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, masyarakat masih perlu mematuhi SOP dan langkah kesihatan awam yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19. 

“Ini adalah sangat penting sebab kalau kita lihat pengurusan pandemik di Malaysia pada hari ini, kita semakin berjaya. 

“Kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital semakin menurun serta kadar kematian akibat COVID-19 dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun,” katanya. 

Berhubung isu MySejahtera yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh semalam, Khairy berkata beliau sedia dipanggil semula untuk memberi keterangan lebih lanjut kepada PAC.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan (oleh Wong), saya jelas dengan keterangan saya… kalau dia ingin panggil semula, panggillah,” katanya.

Semalam, Wong berkata kerajaan ‘kelihatan seperti keliru’ siapa yang melantik KPISoft Sdn Bhd sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.

Sementara itu, Khairy berkata pembukaan Institut Endokrin Hospital Putrajaya, iaitu yang pertama di Malaysia, tidak lama lagi bakal meningkatkan perkhidmatan perubatan endokrinologi di negara ini.

Endokrinologi merupakan bidang kepakaran yang memfokus kepada diagnosis dan rawatan gangguan berkaitan hormon di dalam badan. 

Institut Endokrin Hospital Putrajaya akan dilengkapi dengan 220 katil pesakit serta pelbagai kemudahan lain antaranya bilik bedah pintar hibrid dan tiga bilik pembedahan am.

Pada 2017, Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kerajaan memperuntuk RM365 juta untuk membina Institut Endokrin bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat. 

Pada majlis hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman menandatangani dokumen penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya dengan disaksikan oleh Khairy.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *