Kerana Cemburu, Lelaki Tetak Leher Isteri Hingga Mati Di KK

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka pada bahagian perut, menurut polis.

KOTA KINABALU : Gara-gara cemburu, seorang lelaki sanggup menetak isterinya hingga mati dalam kejadian di bilik sewa pasangan itu di Jalan Segama, Kota Kinabalu, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya kira-kira jam 10.50 malam sebelum menetak mangsa.

Polis menemui mangsa berusia 23 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di atas tilam selepas suaminya menghubungi sendiri talian kecemasan 999 serta memaklumkan melakukan perbuatan itu dengan pisau pada jam 11.47 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa mengalami cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka pada bahagian perut.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, menurut Berita Harian.

Menurut Mohd Zaidi, suspek kemudiannya ditahan di lokasi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Motif kejadian dipercayai cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.

“Suspek sendiri yang menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan telah menetak isterinya dengan pisau sehingga mati dan hendak menyerah diri,” katanya.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau dan parang pemotong daging yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa.

“Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *