KOTA BELUD: Naib Presiden UPKO Ewon Benedick berkata cadangan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberikan dokumen sah atau kad warga asing kepada pendatang di negeri itu umpama menjilat ludah sendiri.
Katanya, GRS sebelum ini lantang menentang cadangan Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing yang ketika itu mahu memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing di negeri itu.
“Saya tidak tahu pendirian sebenar pimpinan parti dalam GRS mengenai cadangan baharu ini tetapi sebelum ini, mereka lantang menentang cadangan Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu mahu memperkenalkan PSS kepada pendatang asing di Sabah.
“Cadangan itu sebelumnya dikenali sebagai Pas Residen oleh jawatankuasa dipengerusikan bersama oleh Joseph Pairin Kitingan selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika itu dan cadangan pemberian Pas Residen ini juga disebut dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing di Sabah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, semasa kerajaan PBS terdahulu, mereka juga melaksanakan proses bancian dan memberikan dokumen Sijil Banci kepada pendatang asing di Sabah.
“Pimpinan parti dalam GRS dan penyokong mereka lantang memutar-belit cadangan pemberian PSS tanpa menjelaskan cadangan sebelumnya iaitu Pas Residen, tetapi hari ini, mereka bukan hanya menjalankan proses bancian yang dinamakan Program Pendataan Pendatang Asing di Sabah, tetapi juga akan memberikan dokumen baharu kepada mereka.
“Ini umpama menjilat ludah mereka sendiri, siapa yang akhirnya terbukti mesra pendatang asing? Bukankah mereka?,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kerajaan GRS perlu menyatakan dasar sebenar mereka mengenai penyelesaian ke atas masalah pendatang asing di Sabah.
“Yang nyata, bahan kempen mereka semasa pilihan raya negeri (PRN) Sabah untuk menghantar ‘kumpit-kumpit’ balik ke negara asal kini hanya tinggal cakap-cakap sahaja, satu kegagalan besar di pihak kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas, mempersoalkan sama ada kad warga asing dicadangkan itu membolehkan pendatang asing memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi.
“Apakah pendirian GRS tentang pengwujudan kad warga asing sebagai dokumen pengenalan diri bagi warga asing yang tinggal lama di Sabah?
“Maka dengan itu, Hajiji sebagai Ketua Menteri perlu ada tindakan susulan terhadap pengumuman (cadangan pemberian kad warga asing) itu. Adakah ini bentuk kerajaan yang diharapkan rakyat Sabah bila mengundi parti dalam GRS sekarang? Ia ibarat lain yang dipesan, lain yang sampai,” katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan kerajaan Sabah untuk memberikan kad warga asing kepada pendatang di negeri itu.
Hamzah ketika sidang media di Putrajaya berkata, pertemuannya dengan pegawai Sabah hari ini bersetuju “setiap orang yang tinggal di Sabah” mesti mempunyai kad warga asing atau dokumen sah. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost