Presiden Filipina Cadang Suntik ‘Antivac’ Dengan Vaksin Waktu Mereka Tidur

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah mencadangkan satu cara bagi memastikan mereka yang belum dan masih ragu-ragu berkenaan vaksin COVID-19 supaya disuntik walaupun ianya tidak diwajibkan.

“Masalahnya ialah mereka yang tidak mahu mendapatkan vaksin ini. Carilah mereka di kampung anda, ayuh ke sana semasa mereka sedang tidur dan suntik mereka ketika mereka sedang tidur supaya kita boleh menyelesaikannya.

“Sekiranya mereka tidak mahu disuntik, ayuh pergi ke rumah mereka dan suntik mereka ketika malam menjelang tiba. Saya sanggup buat, saya akan memimpin cara itu,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Filipina berulang kali menekankan bahawa vaksin tidak diwajibkan. Semua vaksinasi memerlukan persetujuan.

Dalam ucapan yang sama, Duterte menyalahkan kekurangan bekalan vaksin COVID-19 yang berlaku pada awal tahun dengan menyatakan bahawa dia tidak berdaya kerana pihak kerajaan tidak mampu untuk mencari mana-mana syarikat yang ingin menjual vaksin kepada Filipina.

Negara tersebut dilaporkan mula mengagihkan vaksin COVID-19 mereka pada 1 Mac lalu, lebih setahun sejak kes pertama COVID-19 dikesan dan paling terakhir untuk melancarkan inisiatif tersebut dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Pada 10 Oktober, lebih 23.1 juta warga Filipina telah mendapat suntikan vaksin sepenuhnya sementara 26.4 juta lagi baru mendapat satu dos sahaja.

Sumber: CNN Philippines

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *