Sokongan Anwar Jadi PM Baharu ‘Lebih Paras Mencukupi’ – Sumber PKR

Anwar menganggap tawaran setara dengan Menteri Kanan yang diberikan itu adalah satu penghinaan terhadapanya.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sudah mendapat angka sokongan mencukupi daripada beberapa parti dan ahli-ahli Parlimen fraksi Perikatan Nasional (PN) untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu.

Perkara itu didedahkan sumber terdekat kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menegaskan setakat ini, beberapa parti dalam blok pembangkang selain Pakatan Harapan (PH) serta ahli-ahli Parlimen daripada PN sudah menyatakan persetujuan menyokong Anwar.

Jelas beliau, sokongan daripada ahli-ahli Parlimen fraksi PN yang diterima Anwar adalah berbentuk peribadi dan dikemukakan dalam bentuk warkah akuan sokongan untuk dipersembahkan kepada Istana Negara.

“Setakat ini, sudah ada persetujuan daripada beberapa parti pembangkang yang bukan bersama PH untuk menyokong Anwar, termasuk beberapa ahli Parlimen yang bersama PN ketika ini.

“Bagaimanapun, sokongan daripada parti atau ahli Parlimen luar PH bukan berbentuk perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) sebagaimana didakwa segelintir pihak.

“Sebaliknya, sokongan itu bagi membentuk sebuah kerajaan baharu yang mempunyai paras sokongan majoriti lebih daripada mencukupi,” kata sumber berkenaan selepas dihubungi Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson difahamkan sudah mendapat sokongan secara ‘grand coalition’ daripada parti-parti blok pembangkang untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri baharu.

Melalui sokongan secara ‘grand coalition’ berkenaan, Anwar dikatakan sudah menerima sejumlah 105 sokongan ahli-ahli Parlimen dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam lagi sokongan ahli Parlimen daripada blok kerajaan bagi meraih sokongan majoriti.

Ketika ini, spekulasi bertiup kencang mengatakan Anwar telah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar parti itu kembali menyokong PH dalam mengembalikan mandat pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Untuk rekod, jumlah ahli Parlimen dalam blok pembangkang adalah seramai 120 orang terdiri daripada PH (89 orang), diikuti UMNO menolak PN (15), Warisan (8), Parti Pejuang Tanahairku (4), Ikatan Demokratik Muda (1), calon bebas (2), PSB (2) dan UPKO (1).

Majoriti mudah sokongan ahli Parlimen yang diperlukan seseorang calon untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu haruslah melebihi angka 110 orang.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima warkah peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda juga bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Mengulas lanjut, sumber PKR berkenaan bagaimanapun menafikan terdapat sebarang pertemuan antara kumpulan bekas ahli Parlimen PKR diketuai bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Anwar di sepanjang berlakunya krisis pentadbiran negara.

Jelas beliau, terdapat percubaan daripada kumpulan Mohamed Azmin untuk menghubungi Anwar, bagaimanapun mereka dihalang sepenuhnya oleh pucuk kepimpinan parti.

“Kami tidak pasti tujuan sebenar mereka hubungi Presiden parti kami. Namun kami memang tidak akan melayan sebarang rayuan atau percubaan untuk berbincang dengan kumpulan Azmin.

“Selain itu, kami turut dihubungi oleh bermacam-macam pihak termasuk parti-parti dalam PN. Tidak dinafikan pelbagai bentuk rundingan dikemukakan kepada kami, namun PKR tetap mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri baharu paling layak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin sewaktu dihubungi Sinar Premium hanya menjawab ringkas beliau tidak nafi atau mengesahkan spekulasi berhubung Anwar sudah mempunyai angka sokongan lebih paras mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

“Saya tidak ingin mengesahkan mahu pun menolak spekulasi berkenaan. Itu sahaja yang saya boleh ulas ketika ini,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Seorang lagi pemimpin PKR turut mengunci mulut apabila ditanya mengenai spekulasi berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebaliknya menjawab perkara itu akan diserahkan kepada Majlis Presiden PH untuk penentuan muktamad.

“Maaf saya tidak boleh komen buat masa ini. Serahkan kepada Majlis Presiden (PH),” katanya.

Sinar Premium turut berkesempatan menghubungi Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pendirian parti itu.

Enggan mengulas lanjut, Loretto sebaliknya meminta semua pihak menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui pendirian sebenar parti itu memandangkan keadaan politik semasa disifatkan ‘sangat genting’.

“Saya tidak mahu komen dahulu. Kita tunggu sedikit masa lagi. Sekarang ini keadaan tengah genting.

“Berkenaan dakwaan Warisan akan menyokong Anwar, itu kena tanya pihak sana sendirilah sebab dakwaan itu datang daripada pihak mereka,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *