Pengedar Dadah Warga Asing Ditahan, Rampas 30 Paket Syabu

Suspek sama ditahan pihak berkuasa.

KINABATANGAN: Seorang pengedar dadah warga Filipina berjaya ditahan dalam operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah ladang sawit di kawasan Tongod, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 3.30 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawai PGA Sandakan yang dikerah menjalankan operasi melakukan pemantauan di lokasi selepas diarahkan Pegawai Pemerintah Batalion 15, Superintendan Abd Halim Ahmad.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan atas maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, suspek berusia 42 tahun yang tiba-tiba muncul di kawasan berkenaan terus ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg kecil berisi satu paket plastik lutsinar saiz sederhana dan 30 paket plastik lutsinar saiz kecil yang mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan badan suspek menemui tangkal tali pinggang berwarna hitam dan berbuah kelongsong peluru yang digunakan sebagai alat kebal diri melalui akuan suspek,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek memiliki pasport tetapi sudah tamat tempoh sejak 20 Oktober 2016 selain tidak memiliki cop sah pintu masuk negara Malaysia.

“Suspek terus ditahan untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *