5 PATI Ditahan Cuba Masuk Tawau Melalui Laluan Tikus

Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke daerah ini ditahan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di Kampung Kurnia Jaya, di sini, Ahad lalu.

Dalam operasi jam 7.55 malam itu, kumpulan PATI berkenaan yang dipercayai cuba masuk ke daerah ini menggunakan laluan tidak diwartakan namun berjaya digagalkan operasi OP Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kumpulan PATI itu ditahan ketika sepasukan anggota ESSCOM sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan dua wanita serta dua kanak-kanak itu disyaki baru tiba dari negara jiran.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku baru tiba dari Indonesia menggunakan laluan tikus,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, tiada sebarang rampasan barang yang menyalahi undang-undang ditemui bersama kumpulan PATI terbabit.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 10 hingga 40 tahun dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002),” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *