Dua Pegawai Kanan UMS Dikenakan Tindakan Tata Tertib

Datuk Peter Anthony didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenakan tindakan tatatertib kerana mengeluarkan surat kontrak penyelenggaraan kepada syarikat milik Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony Datuk Peter Anthony.

Surat bagi kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) itu dikeluarkan tanpa pengetahuan Naib Canselor UMS ketika itu, Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan kemudian diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Mohd Harun, 60, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata ekoran pengeluaran surat itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr ShariffAbdul Kadir S Omang terpaksa meletak jawatan, manakala Pendaftar UMS, Lt Kol (K) Datuk Abdullah Mohd Said dipindahkan ke anak syarikat milik UMS, Ulink Property Sdn Bhd.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk D Sentinathan, yang mewakili Anthony, sama ada laporan polis dibuat berhubung pengeluaran surat berkenaan, Mohd Harun menjawab: “Tidak.”

Sentinathan: Apa kesalahan yang dilakukan oleh Shariff?

Mohd Harun: Surat dikeluarkan oleh Shariff tanpa pengetahuan saya sehingga kelulusan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan untuk projek tersebut, di mana saya tidak tahu menahu.

“Tiada laporan polis dibuat berhubung pengeluaran surat tersebut kerana beliau menyerahkan perkara itu kepada bahagian perundangan universiti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohd Shukur Mohd Din, 57, memberitahu mahkamah beliau mengenali Anthony sejak 2014 melalui Persatuan Kadazan Dusun namun menafikan mempunyai hubungan lain selain daripada persatuan berkenaan.

Senthinathan: Adakah kamu tahu surat sokongan bertarikh 9 Jun 2014 itu dikeluarkan oleh Shariff Abd Kadir tanpa pengetahuan Naib Canselor UMS?

Mohd Shukur: Tidak.

Senthinathan: Saya cadangkan surat tersebut bukanlah disediakan di pejabat Anthony?

Mohd Shukur: Saya tidak bersetuju.

Senthinathan: Saya cadangkan kamulah yang menyediakan surat sokongan tersebut di kafe siber.

Mohd Shukur: Saya tidak bersetuju.

Peter Anthony, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 hingga 21 Ogos 2014.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Ogos ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *