Bekas Guru Agama Sekolah Rendah Dipenjara 20 Tahun

Tertuduh Muhamad Ikram menundukkan wajahnya ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, di Tawau selepas dijatuhi hukuman penjara dan sebatan. – Foto NSTP

TAWAU: Bekas guru sekolah rendah agama di sini, dihukum penjara 20 tahun dengan lapan sebatan, selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, terhadap tiga murid lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Awang Kerisnada Awang Mahmud, menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Ikram Yusup, 25, selepas mendapati lelaki itu bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pada akhir kes pembelaan.

Hakim itu bagaimanapun, melepas dan membebaskan tertuduh atas satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Terdahulu, Awang Kerisnada ketika membacakan penghakimannya, berkata selepas meneliti keterangan dan hujahan yang dikemuka pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu dan pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan yang munasabah.

“Hampir semua orang menjalani kehidupan, bersekolah dan guru ialah sebilangan kecil orang pertama yang ditemui oleh kanak-kanak pada peringkat awal kehidupan.

“Tetapi malangnya mangsa ini bertemu dengan anda (tertuduh) dan ini akan memberi kesan sepanjang hayat mereka.

“Anda sebenarnya pemangsa seksual yang berselindung di sebalik profesion dan pakaian lelaki suci,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 dan empat kali sebatan, bagi setiap pertuduhan yang berkuat kuasa hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga murid lelaki yang masing-masing berumur sembilan, 10 dan 12 tahun itu antaranya dengan cara menghisap kemaluan mangsa, selain memegang kemaluan mangsa bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan jam 4.30 petang dalam tiga kejadian berasingan masing-masing pada pertengahan bulan April, 5 September dan 13 September 2019 di premis Bandar Sri Indah, di sini.

Seramai 19 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung dengan tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 4 Oktober 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kershanathan Pathmanathan, manakala tertuduh diwakili peguam Dayang Aidaku Amira Aminuddin. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *