PM Umum PKP Seluruh Negara

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara.

Muhyiddin berkata, larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan, dan pendidikan berkuatkuasa 10 Mei hingga 6 Jun, manakala larangan dan arahan lain berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun.

Sepanjang tempoh itu, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa bagaimanapun dikecualikan, manakala pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

Sepanjang sambutan Aidilfitri pula, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur tidak dibenarkan.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu dan solat Jumaat.

“Operasi rumah ibadat bukan Islam juga akan diperketatkan dan SOP bagi rumah ibadat bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kenderaan, bilangan orang dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu.

Katanya, SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menggunakan sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) untuk memantau premis dan kawasan hotspot Covid-19 serta mengambil tindakan susulan seperti yang telah diputuskan.

“Saya berharap semua rakyat terus berdisiplin dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau ‘stay at home’ untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

“Kita telah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dalam gelombang pertama dan kedua penularan wabak ini. Saya ingin mengingatkan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Kita masih belum menang,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost