9 Pengawal Keselamatan Warga Filipina Guna Kad Pengenalan Palsu Ditahan

Antara  pengawal keselamatan warga Filipina yang ditahan dalam Operasi Terancang dan Kutip di sini, semalam. – Foto ihsan JPN

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan menggunakan kad pengenalan palsu ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam Operasi Terancang dan Kutip di sini, semalam.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Nooruladzim Ateman berkata, operasi itu dijalankan bermula jam 4 petang membabitkan kekuatan 29 anggota.

Menurutnya, pemeriksaan secara serentak dilakukan di tiga lokasi kawalan keselamatan di Pantai Dalam, Unit KL Pantai 2 dan Tasik Titiwangsa.

“Serbuan berasingan turut dilakukan di Taman Lee Yan Lian dan Taman Pandan Perdana.

“Dalam operasi itu, seramai 24 individu diperiksa dan sembilan lelaki berusia 20 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi berkenaan diadakan bagi mencegah dan membanteras pemalsuan serta penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Justeru beliau menyeru orang ramai supaya memberikan maklumat berhubung sebarang penyelewengan dokumen pengenalan diri dengan menghubungi 03-88807077 atau emel [email protected] atau layari web SisPAA di http://jpn.spab.gov.my. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8267