Doakan Kru KRI Nanggala 402

Anggota tentera melihat gambar kru KRI Nanggala 402 yang masih hilang di pusat ‘command’ SAR yang dibuka di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali. FOTO EPA

BALI: Harapan untuk menyelamatkan 53 kru kapal selam Indonesia yang hilang semakin tipis, berikutan bekalan oksigen dalam aset itu dipercayai sudah habis, sekali gus mengubah fokus carian kepada mengeluarkan aset itu dari perairan ini.

Ketika ratusan anggota keselamatan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) KRI Nanggala 402, pihak berkuasa memaklumkan, kapal buatan Jerman itu dilengkapi bekalan oksigen yang hanya bertahan untuk tiga hari sahaja selepas ia terputus hubungan pada Rabu lalu.

Namun, tempoh itu berakhir pada awal pagi hari ini dengan tiada tanda penemuan kapal selam terbabit bersama 53 krunya.

KRI Nanggala 402 seberat 1,395 tan adalah satu daripada lima aset kapal Indonesia, hilang ketika menjalani latihan menggunakan torpedo di perairan Bali.

Meskipun berharap keajaiban berlaku, tumpahan minyak yang ditemui di kawasan dipercayai lokasi kapal itu tenggelam menunjukkan kemungkinan berlaku kerosakan tangki bahan bakar dan mungkin menyebabkan insiden membawa maut.

Selain itu, ia dibimbangi pecah apabila tenggelam di kedalaman mencecah 700 meter dasar laut, melebihi keupayaan aset itu untuk bertahan.

Pada Khamis, Tentera Indonesia (TNI) memaklumkan pasukan SAR mengesan objek dengan kemagnetan tinggi pada kedalaman antara 50 dan 100 meter (m).

Ketika ini, pihak berkuasa belum lagi mengemukakan penjelasan berhubung kehilangan kapal selam itu atau mengulas mengenai dakwaan sama ada aset berkenaan terlebih muatan.

Malaysia dan Indonesia, selain Amerika Syarikat dan Australia antara negara yang membantu operasi pencarian berkenaan dengan hampir dua dozen kapal dan aset dikerah mencari di kawasan 10 batu nautika.

Kehilangan KRI Nanggala 402 menambah kepulauan Asia Tenggara dalam senarai negara yang berlaku kemalangan kapal selam membawa maut. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *