Jangkitan Naik Mendadak, 3 Lokaliti Di Tawau Dikenakan PKPD

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti membabitkan daerah Tawau, Sabah selama 14 hari bermula esok sehingga 14 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga lokaliti itu membabitkan Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung, Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung susulan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 59 ujian saringan dijalankan di kawasan berkenaan sehingga semalam dengan lapan kes positif direkodkan di Kampung Ranggu Batu 10.

“Sebanyak 16 ujian saringan dilaksanakan di Fasa 2 Taman Semarak, enam kes positif dilaporkan manakala baki sembilan sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Baru Pasir Putih, lapan kes positif direkodkan dan 75 lagi sampel saringan menunggu keputusan. KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di ketiga-tiga lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, pihaknya bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melanjutkan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Sitiawan, Perak serta Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang masing-masing dijadualkan tamat pada esok dan 2 April ini.

“Bagi Kilang YTL serta asrama pekerjanya, KKM sudah melaksanakan 1,174 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 109 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni asrama dan kes terakhir dilaporkan adalah pada 28 Mac lalu iaitu tujuh kes.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Sitiawan, Perak bermula 2 April ini sehingga 15 April nanti,” katanya.

Menurutnya, KKM melaksanakan 1,277 ujian saringan di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 63 kes positif direkodkan.

“KKM mengesahkan masih terdapat peningkatan kes baru Covid-19 yang dilaporkan di lokaliti dan sebanyak 101 baki sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bermula 3 April ini hingga 15 April nanti,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *