Pekerja Kilang Sawit & Syarikat Insurans Punca Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Dua lagi kluster COVID-19 berkaitan tempat kerja dilaporkan di Sabah semalam, masing-masing membabitkan pekerja kilang kelapa sawit dan syarikat insurans.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster pertama dikesan di Lahad Datu selepas seorang pekerja dari Kilang Sebrang, Mukim Silabukan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di Hospital Lahad Datu pada 22 Mac lalu.

Beliau yang juga jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah berkata, kes indeks itu kemudian disusuli satu lagi kes dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada Rabu lalu, juga membabitkan pekerja kilang sama.

“Kluster Sawit Sebrang di daerah Lahad Datu itu mencatat tujuh lagi kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sembilan kes setakat ini.

“Kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala di Hospital Lahad Datu pada 22 Mac, disusuli satu lagi kes positif dikesan melalui saringan bergejala pada Rabu lalu.

“Kedua-dua kes membabitkan pekerja Kilang Sebrang, Mukim Silabukan, Lahad Datu. Kontak rapat kes sudah dikenal pasti dan punca jangkitan masih disiasat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Katanya, kluster kedua iaitu Kluster Kolam Lintas di daerah Penampang dikenal pasti membabitkan tujuh pekerja syarikat insurans di daerah itu.

Beliau berkata, kes indeks dikesan positif COVID-19 pada Rabu lalu melalui saringan bergejala, disusuli enam lagi kes hasil saringan kontak rapat kepada kes indeks.

“Nama kluster berdasarkan tempat individu terbabit bekerja atau membuat lawatan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Masidi berkata, 51 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Sabah semalam, manakala 66 orang dilaporkan sembuh, menjadikan baki pesakit masih dirawat seramai 391 orang.

Sementara itu, katanya, lima daerah dalam zon hijau semalam termasuk Ranau yang menjadi kawasan terbaru tiada kes aktif di Sabah setakat ini.

Empat daerah lagi yang berada dalam zon hijau ialah Tongod, Semporna, Kuala Penyu dan Pitas.

Beliau berkata, 14 daerah berada dalam zon kuning, manakala masing-masing empat daerah zon jingga dan merah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *