Pulau Mabul ‘Sunyi’ Daripada Pelancong

KUALA LUMPUR: Industri pelancongan Pantai Timur Sabah khususnya di pulau peranginan rancak sebelum Covid-19 melanda negara tahun lalu.

Pulau Mabul dan Pulau Sipadan di Semporna antara pilihan pelancong khususnya luar negara bagi menikmati keindahan hidupan marin dan keunikan budaya masyarakat Bajau.

Namun, sejak pandemik ‘singgah’ di Sabah, industri ini terus menguncup dan hilang dari radar pelancongan domestik mahu pun antarabangsa.

Pemilik Amina Holidays Resort, Mohd Hanif Ahmad mengakui pelancong masih kurang walaupun kerajaan memperkenalkan gelembung pelancongan domestik.

Katanya, resort yang terletak di Pulau Mabul itu mengalami kemerosotan mendadak pelancong sejak setahun lalu.

“Pulau Mabul sering menjadi pilihan pelancong China dan beberapa negara Eropah lain namun tiada lagi kehadiran mereka sejak sempadan antarabangsa ditutup.

“Pelancong tempatan juga masih berkurangan dan impak inisiatif diperkenalkan kerajaan juga mungkin mengambil masa yang lama untuk memulihkan semula sektor pelancongan,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Hanif berkata, dia terpaksa mengurangkan jumlah pekerja bagi mengoptimumkan kos.

Katanya, itu langkah terakhir kerana tidak mampu menggajikan pekerja disaat tiada pelancong yang datang untuk menginap.

“Harga bilik juga dikurangkan sehingga 50 peratus dan berharap penduduk sekitar Semporna dan Tawau akan mengambil peluang ini untuk bercuti.

“Saya berharap keadaan ini tidak akan berterusan untuk tahun kedua dan berdoa sektor pelancongan kembali pulih,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *