Larangan Rentas Daerah, Negeri Kekal Elak Penularan COVID-19

KUALA LUMPUR: Pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kerana ia antara penyumbang peningkatan kes COVID-19.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) pergerakan rentas negeri dan daerah menjadi penyebab kepada beberapa kawasan yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau bertukar zon kuning dan merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM pernah merekodkan 11 kluster membabitkan pergerakan rentas negeri.

“Contoh ini dapat dilihat pada Disember lalu apabila kerajaan memberi sedikit kelonggaran, ramai yang melakukan pergerakan rentas negeri seperti balik kampung dan bercuti ke Pulau Langkawi sehingga menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum itu dikategorikan zon hijau bertukar merah.

“Malah ada beberapa daerah yang terpaksa dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.

Beliau berkata beberapa daerah yang hijau juga boleh bertukar kuning dan merah sekiranya kebenaran rentas daerah dan negeri dibenarkan.

“Bagaimanapun penelitian laporan dan data dari semasa ke semasa akan dilaksanakan KKM sebelum ia dibentangkan bagi membolehkan keputusan selanjutnya dibuat.

“Buat masa ini harap semua bersabar dan kerajaan akan dapatkan pandangan daripada KKM untuk sebarang perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan memansuhkan larangan pergerakan dalam radius 10 kilometer (km) di seluruh negara bermula esok.

Pergerakan lebih 10km dibenarkan di semua negeri yang dilaksanakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas banyak aktiviti perniagaan diberikan kebenaran untuk beroperasi di seluruh negara.

“Selepas mengambil kita keputusan kerajaan sebelum ini yang membenarkan banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi jadi adalah tidak relevan untuk kita terus melarang mana-mana pihak bergerak dalam radius 10km,” katanya.. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *