Kredibiliti Warisan Tak Jejas Kerana Tak Sertai Undian Belah Bahagi, Kata Penganalisis

Seorang penganalisis percaya Warisan bertindak sedemikian selepas pertimbangan sewajarnya dengan mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya di Sabah.

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berkata, kredibiliti Warisan tidak terjejas walaupun ahli Parlimennya tidak hadir di Dewan Rakyat ketika undian belah bahagi diadakan untuk meluluskan peruntukan bagi 2 kementerian semalam.

Tony Paridi Bagang dari Univeristi Teknologi Mara percaya Warisan bertindak sedemikian selepas pertimbangan sewajarnya dengan mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya di Sabah.

“Untuk menjadi pembangkang yang berkredibiliti, tidak semestinya membangkang semata-mata, tetapi harus bersikap konstruktif dan progresif dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama.

“Apa yang dapat diterjemahkan dengan tindakan atau pendirian Warisan itu adalah ia tindakan ‘selamat’ untuk menyokong atau menolak,” katanya

Semalam, pembangkang gagal dalam undian belah bahagi untuk menolak peruntukan Belanjawan 2021 bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, selepas perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Peruntukan untuk JPM diluluskan dengan 105 menyokong, 95 tidak setuju dan 20 ahli Parlimen tidak hadir, manakala 106 menyokong, 95 tidak setuju serta 19 orang tidak hadir ketika undian belah bahagi diadakan untuk peruntukan Kementerian Kewangan.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion, iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, sementara Kementerian Kewangan mendapat peruntukan RM35.1 bilion, iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Difahamkan, Ahli Parlimen Warisan yang tidak hadir semalam ialah Presidennya, Shafie Apdal (Semporna), Darell Leiking (Penampang), Rozman Isli (Labuan), Isnaraissah Munirah Fakharudy (Kota Belud), Azis Jamman (Sepanggar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Ia menyusul Belanjawan 2021 berjumlah RM322 bilion yang diluluskan di peringkat dasar dengan suara majoriti Khamis lalu kerana Ahli Parlimen pembangkang dan bebas gagal mendapatkan 15 ahli Parlimen untuk menyokong undi belah bahagi, termasuk daripada Warisan.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, kredibiliti Warisan dinilai rakyat berdasarkan apa yang mereka sokong dan dibantah.

“Sebagai pembangkang, ianya tidak bermaksud hanya membangkang semua yang diusulkan kerajaan, tetapi mereka harus memilih apa yang perlu dibangkang atau disokong.

“Dahulu, Ahli Parlimen kerajaan sekarang yang merupakan pembangkang sebelum ini juga menyokong usul pindaan bagi menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Namun, kita juga melihat mereka tidak mengundi untuk pindaan RUU (Rang Undang-undang) 1 (2) yang kononnya akan mengembalikan Sabah serta Sarawak sebagai rakan sama rata dengan Semenanjung,” katanya merujuk pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *