TENOM: Tiga parti politik bersama Pertubuhan Mamagun Sabah (Mamagun) membuat laporan polis ke atas video tular berdurasi 12 minit 45 saat yang menampilkan pembohongan Datu Mohd Akjan Ali Muhammad.
Presiden Mamagun Rudy Sulaiman Mairi berkata, Akjan menampilkan diri sebagai berkata suku kaum Suluk (Bajau, Ubian, Simunul, Sibutu, Kagayan) adalah penduduk kelas pertama negeri Sabah manakala Dusun Kadazan (Murut) tidak tersenarai.
“Kita membuat laporan untuk meminta pihak polis menyiasat kenyataan Akjan dalam video itu dan seterusnya menggunakan hasil siasatan untuk mendakwa Akjan ke muka pengadilan berdasarkan akta-akta kesalahan yang ada di negara ini,” kata Rudy kepada media semalam.
Wakil tiga parti politik yang menyertai Mamagun itu datang dari Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) bahagian Tenom.
Rudy menjelaskan dakwaan Akjan dalam video itu tidak benar, tidak berasaskan fakta perundangan dan akademik.
Menurut Rudy dakwaan Akjan itu adalah mengelirukan orang ramai dan memprovokasi keharmonian hidup yang seterusnya mewujudkan permusuhan di antara penduduk pelbagai kaum di Sabah. – Utusan Borneo