KALIMANTAN TENGAH: “Saya khilaf ketika melakukan pemukulan (membunuh ibu).
“Saya di bawah pengaruh ubat terlarang (dadah), dan emosi saya tidak terkontrol (terkawal),” kata Agus Iping, 25.
Sindonews.com kelmarin melaporkan, lelaki berasal dari Desa Kanamit, Pulang Pisau, di sini, itu memohon maaf di hadapan media selepas pendedahan kes membunuh ibu kandungnya, Khamis lalu.
Agus mengaku membunuh ibunya, Liling, 55, akibat marah selepas kehilangan telefon bimbit sebelum membakar rumah keluarganya, 5.30 petang waktu tempatan pada hari kejadian.
Dilaporkan, Agus pada mulanya menyuruh ibunya mencari telefon bimbit berkenaan, namun ia gagal ditemui menyebabkan lelaki itu gagal mengawal emosi lalu memukul ibunya dengan alat penimbang tembaga.
Agus mengakui menyesal dengan tindakannya itu dan bersedia menerima hukuman.
“Saya meminta maaf kerana saya tidak sedar (melakukan pembunuhan) akibat pengaruh narkoba (dadah).
“Kalau saya ada salah, saya minta maaf,” katanya sambil menangis.