Pengganas Abu Sayyaf Terbunuh Di selatan Filipina Tiada Dalam Senarai Dikehendaki ESSCOM

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali

SANDAKAN: Empat pengganas Abu Sayyaf yang terbunuh ketika operasi ketenteraan di lokasi persembunyian kumpulan itu di selatan Filipina, Sabtu lalu, tidak termasuk dalam senarai dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Perkara itu disahkan Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, yang memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan daripada pasukan keselamatan Filipina mengenai operasi itu.

Jelasnya, tiga nelayan warga Indonesia diculik dari perairan Tambisan, Lahad Datu, yang cuba diselamatkan dalam operasi ketenteraan itu dilaporkan masih hidup dan dipercayai masih berada dalam tahanan kumpulan penculik.

“Kita sudah terima laporan dan mereka (empat pengganas Abu Sayyaf yang maut) tiada dalam WL (senarai dikehendaki) ESSCOM.

“Tiga mangsa culik masih hidup dan belum dapat diselamatkan (masih berada dalam tahanan kumpulan penculik),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar tempatan, empat pengganas Abu Sayyaf dan seorang tentera terbunuh ketika operasi ketenteraan untuk menghapuskan tempat persembunyian kumpulan militan di selatan Filipina, sekali gus usaha menyelamatkan tiga nelayan yang diculik dari perairan negeri ini pada September lalu.

Pertempuran dikatakan berlaku pada jam 1.40 petang apabila pasukan tentera Filipina bertembung dengan 40 pengganas Abu Sayyaf di Sitio Tambang, Barangay Kabbon Takas, Patikul di selatan Filipina.

Laporan itu turut memetik kenyataan akhbar daripada Western Mindanao Command (WESTMINCOM) yang menyatakan kumpulan itu di bawah Hatib Hajan Sawadjaan.

Pada 24 September lalu, tiga nelayan berkenaan iaitu Samiun Maneu, 27; bapa saudaranya, Maharudin Lunani, 48, dan anak Maharudin, Muhammad Farhan, 27, dilarikan oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Sebelum ini, ESSCOM menyenaraikan 18 warga Filipina yang paling dikehendaki bagi tahun 2019.

Senarai itu membabitkan penjenayah Salip Mura Kayawan, Sibih Pisih, Titing Alihasan (Iyot Panday), Roger Saji, Long Sahirin, Jul Aksan Abdurajan (Halimaw), Hatib Hajan (Sawadjaan), Apo Mike (Majan Sahidjuan) dan Indang Susukan (Abu Jihad).

Al Munjir Yadah, Raden Abuh dan Marajan (Manajan Asiri), Sangbas (Anjang), Hamsan Pakkan (Black Cobra), Sabri Madrasul (Salip Jul), Jul (Jul Hasan), Tampi (Bunju) dan Ben Tatoh.

Bagaimanapun, difahamkan, seorang daripada 18 yang dikehendaki itu iaitu Indang Susukan dipercayai mati terbunuh ketika bertempur.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *