Seorang pelajar ditahan polis kerana disyaki membunuh seorang janda muda berusia 20 tahun di Bojonegoro, Indonesia.
Mayat mangsa ditemui di longkang pada pagi Isnin, 25 November lalu, oleh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ketika itu mahu melepaskan hajatnya di longkang tersebut.
Terkejut menemui mayat mangsa, Fikri Firmansyah terus melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.
“Saya nak kencing, ternampak pula ada mayat, seram pula saya,” katanya.
Ketika ditemui, mayat mangsa masih memakai baju merah dan seluar dalam berwarna putih.
25 meter dari kedudukan mayat pula terdapat seluar panjang bercorak bunga yang dipercayai milik mangsa.
Muka mangsa juga mempunyai luka seperti dipukul dengan objek tumpul.
Polis telah mengumpul bahan-bahan bukti berkenaan untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati, mangsa bernama Aidatul Izah, 20, janda anak satu. Polis juga telah menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh itu.
Suspek mengaku telah membunuh mangsa dengan melilit lehernya menggunakan tali berwarna biru lalu dijerut sehingga mati.
Bagi memastikan mangsa sudah benar-benar tidak bernyawa, suspek memukul kepala mangsa dengan objek tumpul.
Suspek yang berusia 19 tahun itu mengaku menyesal membunuh mangsa, malah tidak menyangka dia tergamak berbuat demikian terhadap mangsa yang juga merupakan jirannya.
Namun, suspek menjelaskan, mangsa kerap meminta dia bertanggungjawab di atas kehamilannya yang dianggarkan sudah berusia 24 minggu atau 6 bulan.
Selain itu, suspek mendakwa mangsa juga selalu meminta wang daripadanya.
Tertekan dengan desakan itu, suspek mengambil keputusan untuk membunuh mangsa dan mencampak mayatnya di longkang.
“Saya diminta untuk bertanggungjawab di atas kehamilan dan dia selalu meminta wang dari saya,” katanya.
Polis berkata, suspek mengenali mangsa sejak Julai 2019 dan menjalinkan hubungan sehingga ke tahap melakukan persetubuhan.
Suspek akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan bakal berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara selama 20 tahun.
Sumber: Tribun News