Lebih Banyak PPR Akan Dibina Di Sabah

TAWAU: Seramai 3,342 pemohon berjaya ditempatkan di lima projek perumahan rakyat (PPR) di daerah ini sejak tahun 2001.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya komited dalam membantu rakyat di negeri ini mendapatkan kediaman selesa dengan kadar sewa yang murah.

“Bagaimanapun, saya difahamkan, lebih 10,000 permohonan rumah PPR diterima Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan sedang dalam proses penilaian.

“Ini menunjukkan konsep rumah PPR dan mampu milik ini amat diperlukan rakyat di sini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Penyewa Program PPR Taman Sri Bukit Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah @Ambrullah Kamal, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sarifuddin Hata dan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.

Herman Nurhati bersama keluarga.

Zuraidah berkata, selain di Tawau, pihaknya juga dalam perancangan untuk membina dua projek PPR di Sandakan dan Melalap menerusi bajet yang diperuntukkan tahun hadapan.

“KPKT sudah meninjau tapak di Sandakan, manakala Melalap masih dalam kajian.

“Bagaimanapun dua projek PPR baharu ini dijangka akan mula dibina tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Amrullah berkata, selain PPR Taman Sri Bukit Tawau, empat PPR lain adalah PPR Balung, PPR Taman Sri Titingan, PPR Taman Batu 8 Sri Apas dan PPR Taman Sri Semarak.

“Kami berharap lebih banyak rumah PPR dapat dibina di sini, kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

MAD BULANSING

Bagi penerima rumah PPR Taman Sri Bukit Tawau, Herman Nurhati, 36 bersyukur dipilih menjadi antara penyewa terawal.

“Dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan, kami sekeluarga bersama dua anak berumur 4 dan 2 tahun hanya mampu menumpang rumah saudara.

“Alhamdulillah, dengan kadar sewa RM124 sebulan, sedikit sebanyak dapat membantu kami tinggal sendiri,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Mad Bulansing, 59, yang berpuas hati dengan kemudahan PPR yang mesra orang kurang upaya sepertinya.

“Isteri memaklumkan, PPR ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna dan kedai, sekali gus memudahkan penduduk,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *