Club Med Labur RM400 Juta Bina Resort Di Kuala Penyu

KOTA KINABALU: Syarikat peneraju industri resort dan percutian terkemuka dunia yang bertaraf lima bintang, Club Med melabur sebanyak RM400 juta untuk membina resort pertamanya di Borneo yang terletak di Kampung Tanjung Aru, Kuala Penyu.

Resort berkenaan adalah yang pertama milik Club Med dikategorikan sebagai Bangunan Hijau kerana  menepati piawaian Kaedah Penilaian Alam Sekitar Berasaskan Pembinaan Bangunan (BREEAM) dan akan dibangunkan oleh Golden Sands Beach Resort City Sdn. Bhd. (GSBR).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pembinaan resort berkenaan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan pembangunan Kuala Penyu serta menjana ekonomi di situ dengan adanya kira-kira 400 peluang pekerjaan baharu.

“Pembangunan begini akan mengubah landskap Kuala Penyu yang dulu tidak terkenal kerana Club Med ini bukan sahaja di Malaysia, malah terkenal di seluruh dunia.

“Sudah pasti dengan ini akan ada pembangunan di kawasan ini, bukan hanya nelayan, petani tetapi penduduk akan terima manfaat, saya yakin selepas ini kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air akan kita tambah baik kerana sudah tentu ramai pelancong datang,” katanya ketika berucap sempena majlis pecah tanah resort berkenaan hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Ketua Pegawai Eksekutif Club Med (Resort Asia Pasifik) dan Pengarah Urusan GSBR, Peter Wong Liang Sang.

Resort yang dijangka siap pada tahun 2022 itu adalah yang kedua miik Club Med selepas Club Med Cherating Beach Resort di Pahang.

Ketua Menteri berkata, pembinaan resort itu penting untuk mewujudkan pembangunan seimbang di negeri ini agar tidak tertumpu di kawasan bandar semata-mata sehingga menyebabkan penduduk kampung terpaksa berhijrah.

Katanya, sudah terlalu lama dasar kerajaan sebelum ini yang hanya memberikan fokus kepada pembangunan di bandar-bandar utama, justeru dasar kerajaan pada hari ini adalah membawa sesuatu kepada penduduk kampung terutama pembangunan yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kita tidak mahu Kota Kinabalu sahaja membangun, kita tidak mahu Tawau atau Sandakan sahaja membangun tetapi kita mahu daerah kecil seperti Kuala Penyu juga dibangunkan, kalau hanya tumpukan bandar maka orang kampung akan ke bandar, tiada ertinya kita hantar anak-anak belajar universiti di luar tetapi habis belajar kerja juga di luar.

“Sudahlah tiga empat tahun bila habis terpaksa juga kerja di luar, jadi ini merupakan satu konsep baharu iaitu pendekatan kita memastikan supaya kemudahan itu kita bawa ke kampung-kampung,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *