Empat Pusat Tahanan Sementara Di Sabah Sesak

KOTA KINABALU: Jumlah tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah melebihi 7,000 orang setakat 8 Nov lepas, menyebabkan semua empat pusat tahanan sementara (PTS) di negeri ini sesak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi menjejaki warga asing masih diteruskan dengan sebanyak 6,018 operasi bersepadu dijalankan oleh agensi penguatkuasaan termasuk Majlis Keselamatan Negara, negeri Sabah, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) dan Polis Diraja Malaysia.

“Kerajaan negeri sedar masalah PATI tidak mampu dibendung sepenuhnya dengan menggunakan kaedah tangkap dan usir semata-mata. Oleh itu perlu ditegaskan bahawa usaha membendung kebanjiran PATI tidak mampu dicapai dengan sekelip mata,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) yang ingin tahu usaha kerajaan menangani kebanjiran PATI di Sabah serta jumlah yang sedang ditahan di PTS ketika ini.

Empat PTS yang terdapat di Sabah adalah di Papar, Kota Kinabalu dan Sibuga di Sandakan serta Tawau.

Mohd Shafie berkata seramai 9,419 PATI telah dihantar pulang ke negara asal melibatkan 80 penghantaran dari Januari sehingga 8 Nov lepas.

“Bagi menyeragamkan kepelbagaian dokumen yang dimiliki warga asing di Sabah, pelaksanaan Pas Sementara Sabah kepada pemegang IMM13, kad burung-burung dan sijil banci akan dilaksanakan berkuat kuasa pada 1 Jun tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata bilangan pemegang IMM13 di Sabah ialah seramai 51,645, sijil banci (47,518) dan kad burung-burung (36,892) bagi tempoh 26 Nov 2015 hingga Jun 2016.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *