Pejabat Kedutaan Filipina Perlu Untuk Bantu Selesaikan Masalah Dokumentasi Warganya Di Sabah

Pengemis rakyat asing menjadikan kaki lima kedai di pekan Telipok Ria, Tuaran tempat meraih rezeki. – Gambar NST

KOTA KINABALU: Kedegilan Kerajaan Filipina untuk mewujudkan pejabat kedutaan di Sabah dilihat antara perkara yang melambatkan proses pengurusan dokumen warga Filipina yang berada di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau sendiri mahu Kerajaan Filipina mewujudkan pejabat kedutaan di Sabah, namun tuntutan Filipina terhadap Sabah menghalang mereka berbuat sebegitu.

Katanya, berikutan itu Kerajaan Filipina melantik ejen untuk menguruskan dokumen warga Filipina yang berada di Sabah tetapi syarat diberikan adalah pemohon perlu balik ke Filipina bagi membolehkan pasport disahkan, bagaimanapun kebanyakkan warga asing itu tidak mampu menanggung kos tersebut.

“Isu ini sangat kompleks dan jika dilihat hubungan Kerajaan Pusat dan Selatan Filipina tidak begitu baik. Masalah ini sudah menghantui kita berpuluh tahun, maka kita perlu ada hala tuju yang jelas bagi menyelesaikan masalah yang berpanjangan ini.

“Kita perlu kerjasama rapat dengan Kedutaan Filipina dan Indonesia untuk mengurus tadbir keadaan ini. Setakat ini kerjasama dengan Indonesia berjalan dengan lancar kerana mereka mempunyai pejabat kedutaan di Sabah, namun dengan Filipina, keadaannya agak kompleks,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) mengenai keperluan kerajaan mengeluarkan dokumen kepada warga asing di Sabah.

Katanya, isu tuntutan Filipina ke atas Sabah sepatutnya tidak menjadi isu kerana pada tahun 1960-an rakyat negeri ini telah mengeluarkan referendum menyatakan kehendak mereka untuk bersama membentuk negara Malaysia.

Maka katanya, tiada apa-apa yang perlu dibangkitkan lagi sehingga Kerajaan Filipina enggan membuka pejabat kedutaan di Sabah, malah jika isu tuntutan itu dipanjangkan ke Mahkamah Pengadilan Antarabangsa sekali pun, mereka akan kalah.

“Tidak perlu untuk kita bawa perkara ini kerana tuntutan ini tidak sah namun, mereka masih berdegil untuk mewujudkan pejabat kedutaan di Malaysia, khususnya di Sabah kerana mereka masih mahu meneruskan tuntutan.

“Bagaimanapun, saya memberi jaminan Kerajaan Sabah akan berusaha untuk pastikan perkara ini dapat ditangani sebaiknya agar urus tadbir keperluan pekerja asing dalam pelbagai sektor di Sabah lancar,” ujarnya.

Mengenai cadangan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Star-Tambunan) yang mahu tempoh sah Pas Sementara Sabah (PSS) dipendekkan kepada setahun berbanding tiga tahun, Mohd Shafie berkata, cadangan itu akan dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah.

Namun katanya, harus difahami kos pengeluaran kad yang bernilai lebih RM100 itu akan mendatangkan masalah kepada pemegang kad berkenaan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *