Tiga Lagi Pemburu Gajah Diperintah Hadir Ke Mahkamah Jumaat Ini

Syarifuddin Abdul Rasa (kanan).

TAWAU: Tiga pemburu yang  disyaki memiliki atau bersubahat memiliki gading haiwan itu diperintah hadir ke Mahkamah Sesyen Jumaat depan.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud terhadap Paranchoi Nordin, 59; Abdullah Simin, 68, dan Martin Alok, 44, yang gagal hadir ke mahkamah kerana sedang menjalani hukuman penjara, selepas mereka mengaku bersalah memiliki senjata dan berkaitan kesalahan Imigresen, 22 Oktober lalu.

Timbalan Pendakwa Raya negeri Syarifuddin Abdul Rasa memaklumkan perkara itu ketika ditemui wartawan, hari ini.

“Sebentar tadi, kami mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan semua tertuduh hadir bagi kes ini.

“Perintah itu akan disampaikan kepada polis dan pihak penjara untuk tindakan lanjut sekali gus membenarkan tertuduh hadir ke mahkamah nanti,” katanya.

Paranchoi, Abdullah dan Martin didakwa melakukan kesalahan dengan niat memiliki atau bersubahat memiliki dua potong gading gajah Borneo Pigmi, haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti yang disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih dari RM250,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Awang Kerisnada mengeluarkan arahan untuk tertuduh datang ke Mahkamah Sesyen pada pukul 9 pagi, Jumaat ini.

Pada 22 Oktober lalu, Paranchoi dan Abdullah dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Manakala Martin, yang juga warga Indonesia dihukum penjara 2 bulan dan 2 sebatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Mereka antara enam suspek berumur antara 44 hingga 68 tahun yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan kejam seekor gajah Borneo di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, pada  September lalu.

Bangkai gajah betina itu ditemukan sekumpulan pemancing di dalam air dalam keadaan terikat dipercayai bagi mengelakkannya hanyut, pada 26 September lalu.

BorneoToday

499