Cari Jalan Untuk Menyerlah

MARSHA

Biarpun lahir menerusi rancangan realiti televisyen, barisan selebriti tanah air berpandangan karier mereka tidak hanya terarah dalam bidang nyanyian sebaliknya bakat yang dimiliki perlu dikembangkan dalam pelbagai bidang.

Pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Marsha Milan Londoh, 34, berkata, dia tidak menumpukan kerjaya nyanyian semata-mata sebaliknya terbabit dengan lakonan dan pengacaraan sebaik program itu berakhir pada 7 Ogos 2005.

“Apabila AF3 tamat, saya hanya menjayakan undangan nyanyian ketika itu. Namun, rezeki bertambah murah apabila menerima tawaran lakonan setahun kemudian,” katanya.

Marsha setakat ini sudah membintangi 13 filem antaranya Misi: 1511, Senario The Movie Episod 2: Beach Boys, 4 Madu, Bola Kampung The Movie dan Pak Pong.

Selain itu dia membintangi puluhan drama, telefilem dan memiliki dua album studio serta 18 single yang lain.

Anak jati Tamparuli, Sabah yang berdarah kacukan Kadazan-Dusun itu berkata, peluang diterima perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Untuk artis baharu, carilah peluang dan manfaatkan apabila ia datang. Biarpun tiada pengalaman seperti artis terdahulu, mereka perlu sentiasa belajar cara untuk menyerlah dalam industri ini,” katanya ketika dihubungi RAP, semalam.

Finalis AF Megastar 2017 itu turut mengajak artis baharu supaya berdisiplin, menjaga masa dan jangan terlalu selesa apabila sudah popular.

“Saya berasakan bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan sentiasa berkait. Seorang penyanyi perlu pandai menghiburkan dan daripada situlah bakat pengacaraan akan terlahir,” katanya.

Menurutnya, penyanyi juga perlu menyampaikan lagu menyelitkan unsur penjiwaan yang akhirnya menyerlahkan bakat lakonan.

“Apabila seorang artis lahir daripada rancangan realiti, jangan hadkan pada nyanyian sebaliknya kembangkan bakat dalam pelbagai bentuk,” katanya yang mahu bergelar penghibur berskala besar.

Isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Ismail itu mengakui setiap artis berdepan cabaran kekal relevan dalam tempoh yang panjang.

Sementara itu, Faradina Mohd Nadzir atau Dina Nadzir berkata, dia mencari banyak peluang sebaik dinobatkan naib juara Malaysian Idol pada 2004.

“Alhamdulillah, sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, Dina diberi kepercayaan dalam pelbagai bidang antaranya nyanyian, pengacaraan, lakonan, fesyen dan terbaharu, penyampai radio.

Dina

“Bukan sahaja rancangan realiti tetapi mana-mana penggiat seni tanah air perlu melebarkan sayap dalam kepelbagaian bidang,” katanya.

Jika menumpukan hanya sesuatu bidang, Dina berasakan ia kerugian besar sedangkan artis itu memiliki bakat dan kreativiti.

“Artis perlu bertindak luar biasa dengan melakukan lebih daripada satu kerja seperti dilakukan artis Hollywood iaitu Beyonce dan Lady Gaga. Mereka bukan saja penyanyi dan pelakon tetapi juga penulis lagu,” katanya.

Dia yang pernah memenangi pingat emas dan perak pada Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat mengakui artis berdepan cabaran kekal relevan disebabkan perubahan pembangunan dan peredaran masa.

Pelantun lagu Cinta Datang Lagi itu berharap penyanyi tidak menyekat diri mencuba sesuatu baharu sama ada dalam eksperimentasi muzik atau penulisan lirik.

Juara AF3, Asmawi Ani atau Mawi, 38, juga antara selebriti yang dilahirkan menerusi rancangan realiti televisyen.

“Beberapa tahun selepas AF3, saya nampak banyak peluang tersedia dalam industri hiburan. Selain nyanyian, saya menerima tawaran lakonan dan ketika itu mempelajari cara mengendalikan set penggambaran, mengarah drama dan penulisan skrip,” katanya.

Mawi

Selepas 13 tahun menjadi anak seni, Mawi menadah kesyukuran apabila impiannya bergelar penyampai radio menjadi kenyataan sebaik diundang stesen radio Zayan.

“Setiap artis perlu mencuba kepelbagaian bakat yang dikurniakan Allah. Masa tidak akan berundur, manfaatkan ia sepanjang berada dalam industri ini,” katanya.

Dia yang turut bergelar pengarah filem berjudul Tiada Tajuk menyarankan artis baharu bijak membawa diri dan mencari kelainan.

“Buat masa ini, saya merancang menghasilkan filem kedua. Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, saya berdepan cabaran jatuh bangun dan pernah senyap seketika.

“Bagaimanapun, saya tidak hilang kerana melakukan kerja di belakang tabir termasuk menghasilkan drama dan menulis skrip dalam tempoh empat tahun.

“Artis perlu berusaha gigih jika mahu kekal relevan dan jangan bergantung pada nyanyian semata-mata,” katanya.

Harian Metro