Tuntutan MA63 Dilandasan Yang Betul Untuk Direalisasikan – Shafie Apdal

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyediakan satu landasan bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal yang perlu diperhalusi sebelum mengambil alih pengurusan dan pentadbiran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Kerajaan Persekutuan memang telah bersetuju menyerahkan SESB kepada Kerajaan Sabah.

Namun, ada beberapa perkara perlu diperhalusi seperti bebanan hutang SESB yang mencecah RM1bilion yang mana, tidak mampu ditanggung sendirian oleh Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, Kerajaan Sabah juga telah melantik sebuah syarikat untuk memperincikan masalah berkaitan pengambilalihan SESB ini serta cara untuk mengatasinya.

Mohd Shafie berkata, beberapa pendekatan dan isu teknikal perlu diselesaikan terlebih dahulu untuk membolehkan pengambilalihan ini dapat direalisasikan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tujuh isu yang berjaya diselesaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.

Mohd Shafie berkata, kerajaan juga masih membincangkan secara mendalam mengenai beberapa isu termasuk 40 peratus hasil dari Sabah yang sepatutnya diberikan kepada Kerajaan Sabah.

”Kita juga bincang tentang royalti minyak dan perkara ini sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk. Malah, ada juga perkara yang masih belum selesai…mungkin tidak semua dapat diselesaikan dalam jangka masa pendek kerana ada antaranya membabitkan fakta seperti kutipan hasil 40 peratus.

”Perkara itu memerlukan penelitian mendalam kerana kita tidak tahu statistiknya. Berkemungkinan besar kita dapat melihat kerangka outfit Persekutuan yang membuat pengumpulan hasil dari cukai dan pelancongan.

”Oleh itu, penelitian di peringkat negeri perlu ada dengan disokong oleh agensi pusat, ” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie melahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas keprihatinan memenuhi tuntutan dalam MA63.

Katanya, biarpun masih ada perkara yang tengah diperhalusi tetapi beliau yakin, landasan yang dilakukan Tun Mahathir itu seiring dengan apa yang dikehendaki selama ini oleh rakyat Sabah.

”Walau ada suara diluar sana yang mahukan sesuatu tetapi kita sedar dan tahu semasa mereka menjadi kerajaan, mereka tidak dapat realisasikan (tuntutan) ini.

”Tetapi (kerajaan) hari ini sedikit sebanyak biarpun masih ada beberapa isu belum diputuskan tapi, apa yang penting kita menuju ke arah itu. Kita sepakat untuk merealisasikan apa dikehendaki rakyat Malaysia yang berada di Sabah,” jelasnya.

Pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet, tujuh isu membabitkan Kerajaan Sabah dan Sarawak telah mendapat persetujuan bersama.

Ia termasuk tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan; pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas; pelaksanaan kerja raya Persekutuan dan Negeri; tenaga buruh; kuasa negeri ke atas isu kesihatan; pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan; serta isu pertanian dan perhutanan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *