Perjuangan ‘Sabah For Sabahan’ Dalam Parti Warisan Untuk Tuntut Hak Sabah

KOTA KINABALU: Walau menggunakan slogan perjuangan ‘Sabah for Sabahan’ Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak mengamalkan semangat kenegerian sehingga tidak menerima orang luar.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, slogan yang dilaungkan parti itu lebih kepada usaha memperjuangkan hak-hak Sabah seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

”Kita menuntut hak Sabah bukan pengertiannya kita sangat bersifat kenegerian. Kita tahu negeri lain juga ada slogan ‘Terengganu for Terengganu’ dan ‘Johor for Johor’.

”Saya setuju dengan Tun Mahathir, kita perlu beri tumpuan untuk membina negara dan kecintaan kita pada negara ada di situ. Tiada persoalan berbangkit,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Sabah juga perlu bantu diri sendiri kerana jika dilihat ramai orang Sabah yang melabur di luar negeri berbanding di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat yang mahukan slogan ‘Sabah for Sabahans’ dan Sarawak for Sarawakians’ perlu dimansuhkan jika mahu negara ini terus maju ke hadapan.

Tun Mahathir berkata idea bahawa Sabah untuk orang Sabah, dan Sarawak untuk orang Sarawak, dan Semenanjung untuk orang Semenanjung adalah satu budaya yang tidak sihat. Rakyat di negara ini perlu menganggap diri mereka adalah rakyat Malaysia.

Kemudian ditanya mengenai kenyataan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin yang didakwa menyatakan bahawa Malaysia adalah untuk orang melayu, Mohd Shafie berkata, beliau tidak mahu mengulas mengenai perkara itu kerana tiba masanya rakyat bersama-sama kerajaan untuk membina negara ini.

”Atas sebab itu apabila ada menteri dari Sabah diletakkan dalam Kabinet Persekutuan, mereka adalah menteri yang mewakili seluruh negara. Mereka bukan menteri untuk Perlis, Sabah mahupun Sarawak.

”Negara ini kita punya jadi saya tidak fikir elok bagi kita memainkan isu yang boleh memecahbelahkan kita. Kita seharusnya bercakap tentang isu yang dapat menyatukan rakyat. Kemerdekaan sudah dicapai maka, kita harus berusaha menyumbang kepada pembinaan negara ini.

”Mungkin kita ada tuntutan dan pandangan berbeda tetapi tidakkan sampai berpanjangan apa yang kita suarakan itu di jalan raya, dengan membakar bangunan dan merosakkan kemudahan awam,” jelasnya.

Mohd Shafie berkata, jika mahukan sesuatu tidak perlu melebihi had. Kena ada had supaya suara lebih didengari dan bukannya merosakkan negara yang telah dibina dengan bersusah-payah selama ini.

BorneoToday